Kerajaan Negeri Selangor menjunjung titah keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap dakwaan kegiatan jenayah oleh Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya.
Exco Agama Islam negeri Selangor Mohammad Fahmi Ngah melalui satu kenyataan pada Sabtu berkata, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membentangkan laporan penuh minggu hadapan berhubung tindakan yang telah dan akan diambil berkaitan isu kumpulan itu.
"Saya akan ditaklimatkan tentang langkah semasa JAIS bagi mengekang dan mengambil tindakan undang-undang berkenaan, termasuklah perkara berkaitan sekolah agama dan tahfiz di bawah GISBH di Negeri Selangor," katanya dipetik.
Sultan Sharafuddin melalui satu kenyataan bertitah semua perbuatan jenayah serius dikaitkan dengan GISBH berdasarkan hasil siasatan polis telah mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.
Justeru semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat kegiatan jenayah termasuk syariah, diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiayai.
Baginda juga menitahkan agar Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ia menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama lslam yang sebenar.
Sementara itu Dr Fahmi menyeru umat Islam di Negeri Selangor agar terus memberikan apa juga maklumat dan tampil ke JAIS untuk membuat aduan segera berhubung aktiviti kumpulan itu.
Tegasnya, tindakan susulan ke atas GISBH daripada siasatan hasil kerjasama orang awam, agensi-agensi agama negeri dan agensi penguatkuasaan persekutuan amat kritikal pada saat ini.
"Pasukan khas yang diketuai oleh Pengarah Jais sedang berusaha mengukuhkan beberapa keperluan kes melibatkan pimpinan atasan GISBH dan beberapa kegiatan individu lain mengikut seksyen 7,8,10,12,13 dan 106 enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.
"Teruslah berwaspada dan berhati-hati dengan penampilan pakaian, kepetahan bersyarah dan penyebaran doktrin atas nama agama, kerana jelas terbukti ada kalangan mereka yang memanfaatkannya untuk kepentingan peribadi dan kelompok tertentu," ujarnya.
Minggu lalu, Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor serta Negeri Sembilan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun.
Setakat ini 200 individu termasuk pemimpin tertinggi kumpulan lanjutan daripada ahli Al-Arqam itu sudah ditahan pihak berkuasa polis.
Yorumlar