top of page

Gesa Menteri Pendidikan Dipecat: Mariam Mokhtar Cetek Pengetahuan



Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif


ULASAN: Tulisan Mariam Mokhtar dalam thetruenet.com pada 31 Ogos 2023 yang menggesa supaya Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meletak jawatan atau dipecat adalah satu kenyataan penuh emosi dari seorang liberal yang cetek terhadap perkembangan dunia pendidikan di Malaysia.


Mariam Mokhtar turut menggambarkan bahawa Kementerian Pendidikan cuba membawa pelajar-pelajar Melayu-Islam kembali ke “Zaman Kegemilangan (Islam) Kurun keenam” melalui pengenalan pelajaran Hadis 40 Imam Nawawi sedangkan dalam masa yang sama pelajar-pelajar bukan-Melayu menfokuskan pengajian mereka kepada mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).


Malah lebih keterlaluan Mariam Mokhtar turut mengheret Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bila mana menyebut bahawa kedua-dua Datuk Seri Anwar dan Fadhlina telah melakukan suatu kerosakan besar kepada masa depan anak-anak Melayu hanya kerana memperkenalkan pelajaran Hadis 40.


Tulisan Mariam Mokhtar kali ini sarat dengan emosi penentangan dan perlecehan terhadap langkah-langkah kerajaan untuk memperkasakan jati-diri anak-anak Melayu Islam melalui kebijaksanaan dan pengetahuan yang diperolehi dari karya tokoh besar ilmuan Islam, Iman Nawawi.


Mungkin beliau lebih suka anak-anak Melayu hanya disogok dengan karya-karya barat nukilan William Shakespeare, R.L Stevenson, Somerset Maugham, Guy de Maupassant atau Robert Frost dan menjadi seperti dirinya yang takut dan terlalu ofensif kepada kehebatan ilmu dan pengaruh ilmuan-ilmuan Islam seperti Iman Nawawi.


Bina generasi seimbang duniawi, ukhrawi


Walaupun mungkin agak tidak seimbang membanding Hadis 40 Iman Nawawi yang lebih membicarakan keilmuan dari sudut pandang agama dengan karya-karya sastera Barat tersebut tetapi menafikan peranan karya tokoh besar ilmuan Islam tersebut (yang menjadi sumber kajian ramai pengkaji dan ilmuan Barat) dalam usaha mempertajamkan akal fikir dan membentuk keperibadian unggul diri anak-anak Melayu adalah suatu bentuk penolakan terhadap pembinaan manusia Melayu generasi masa depan yang lebih seimbang duniawi dan ukhrawi.

Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif

Pada 19 Ogos 2023 yang lepas Fadhlina Sidek telah mengumumkan pengenalan pelajaran Hadis 40 Iman Nawawi kepada pelajar-pelajar Islam sekolah menengah kerajaan yang akan dimulai dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di mana pelaksanaannya secara berperingkat diperluaskan kepada pelajar-pelajar lain di sekolah kerajaan.


Saya yakin dan percaya bahawa Mariam Mokhtar tidak mengetahui apa yang berlaku dalam sistem pendidikan SMKA. Jika tidak, sudah pasti beliau tidak membangkang membuta tuli dan memperlekehkan kejayaan dan kemampuan pelajar-pelajar Melayu khususnya yang belajar STEM di SMKA.


Untuk makluman semua, dan Marian Mokhtar khususnya, dalam sistem pendidikan di SMKA juga terdapat kelas-kelas aliran STEM baik STEM 1 (sains tulen) mahupun STEM 2 (sains gunaan). Pelajar-pelajar bukan sahaja mempelajari mata pelajaran agama dan Bahasa Arab malah mereka dilengkapi dengan mata pelajaran sains dan teknologi yang membolehkan mereka melanjut pelajaran dalam pelbagai disiplin ilmu seperti perubatan, kejuruteraan, senibina dan perakaunan.


Sekolah agama catat pencapaian cemerlang


Menurut satu tinjauan tidak rasmi berhubung pencapaian keputusan peperiksaan SPM 2022 yang lepas, sekolah-sekolah SMKA berada dalam kelompok 50 buah sekolah terbaik Malaysia di Malaysia dan sebaris dengan pencapaian sekolah berasrama penuh (SBP) yang terkenal.


Pencapaian SPM 2022 yang dinilai dari gred purata sekolah (GPS) menunjukkan SMKA Sultan Azlan Shah (1.56), SEMADAH (1.57), SMKA Kuala Lumpur (1.70) dan SMKA Naim Lilbanat (1.87) hanya beberapa tangga di belakang pencapaian Malay College Kuala Kangsar atau MCKK (1.44) dan lebih baik dari Maktab Tentera Diraja (MTD) (2.07) dan Sekolah Tengku Abdul Rahman (STAR) (2.33).


Malah peningkatan cemerlang pelajar-pelajar sekolah SMKA adalah disumbangkan dari keputusan-keputusan cemerlang pelajar aliran STEM yang belajar di sekolah-sekolah menengah kebangsaan agama berkenaan. Ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar sekolah SMKA adalah pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang agama tetapi juga mereka cemerlang dan seimbang dengan ilmu pengetahuan sains dan teknologi (STEM).


Justeru, dengan memperkenalkan pelajaran Hadis 40 Iman Nawawi di sekolah-sekolah SMKA dan juga SMK nanti tidak sedikit pun akan mengurangkan “kecerdikan” atau “kepintaran” pelajar-pelajar Melayu-Islam di sekolah-sekolah berkenaan. Malah pelajaran Hadis 40 Iman Nawawi ini akan melengkapi kebijaksanaan anak-anak Melayu-Islam tanpa menganggu kehamonian dan peluang anak-anak pelajar Bukan-Islam untuk turut bersaing dan dalam sistem pendidikan menengah di sekolah-sekolah kerajaan.


Sesungguhnya tiada apa yang perlu dibimbangi dengan kehadiran pelajaran Hadis 40 Iman Nawawi ini. Pelajaran ini tetap pelajaran sebagai mana pelajaran-pelajaran lain yang saling memperlengkapi antara satu sama lain. Ia tidak mungkin menjadikan sesuatu generasi atau sesuatu bangsa itu lebih terkebelakang dari bangsa lain hanya dengan mempelajari suatu mata pelajaran.


Kesan pemikiran liberal


Kemarahan dan keceluparan Mariam Mokhtar sehingga mendesak Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meletak jawatan adalah kesan dari pemikiran liberal yang terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri, malah beliau sememangnya naif dan sepertinya tidak mengetahui langsung apa yang berlaku di sekolah-sekolah di Malaysia khususnya di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) tempat di mana pelajaran Hadis 40 Iman Nawawiini akan diperkenalkan.


Adalah diharapkan kepada semua ibubapa Melayu-Islam supaya tidak termakan dengan pemikiran sempit dan mundur orang-orang seperti Mariam Mokhtar ini.


Sebagai warganegara yang merdeka di negara demokrasi seperti Malaysia ini, Mariam Mokhtar bebas menyuarakan pandangan dan pendapatnya.


Namum, di luar sana saya percaya, masih ada ratusan ribu atau jutaan ibubapa yang bersetuju dan sependapat dengan saya.


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan pesara guru. Beliau kini Ahli PIBG SMKA Dato' Haji Abbas Kuala Nerus, Terengganu.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page