
Oleh: Akmal Manaf
Tanpa mengambil kira latar belakang politik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini memaklumkan pemberian Geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) berjumlah RM10,000 kepada kawasan Parlimen.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, peruntukan berkenaan akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada pejabat Ahli Parlimen.
Beliau berkata, peruntukan tersebut dijangka disalurkan dalam separuh pertama tahun ini.
''Terpulang kepada ahli parlimen (untuk menggunakan peruntukan itu). Contohnya mereka mahu mengadakan program untuk pelajar sekolah menengah atau murid sekolah rendah.
''Kalau ahli parlimen nak adakan program untuk komuniti setempat pun boleh, cuma ianya perlu berkaitan dengan STI,'' katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu kementeriannya yang diadakan di sebuah hotel di Bangi, hari ini.
Tambah beliau, geran tersebut boleh digunakan untuk pelbagai program, termasuk inisiatif melibatkan komuniti setempat yang berkaitan dengan STI.
Bagaimanapun, katanya, dana berkenaan tidak akan disalurkan kepada Ahli Parlimen berjawatan Menteri atau Timbalan Menteri kerana mereka mempunyai peruntukan kawasan yang lebih besar.
Comments