
Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk terus membantu golongan usahawan di negara ini mengembangkan perniagaan mereka sekali gus mengadaptasi penggunaan teknologi digital.
Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, pihaknya ada menyediakan bantuan Geran Padanan bagi membolehkan usahawan mengadaptasi teknologi digital masa kini.
Beliau berkata, bantuan itu adalah melalui skim peningkatan kapasiti dan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp bagi tahun 2024.
"Bagi tahun 2024, seramai 226 usahawan telah menerima geran Program Business Accelerator (BAP) berjumlah RM26.31 juta dan seramai 222 usahawan juga telah menerima geran BAP berjumlah RM34.4 juta.
"Kedua-dua program ini akan diteruskan pada tahun ini melibatkan peruntukan RM55 juta bagi program BAP yang menyediakan pembiayaan secara hibrid dalam bentuk geran dan pinjaman mudah dalam nisbah 40:60," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan P Prabakaran (PH-Batu) berkaitan jenis geran yang disediakan oleh KUSKOP kepada usahawan tempatan bagi mengadaptasi teknologi digital dalam perniagaan mereka.
Selain itu, Prabakaran juga ingin tahu apakah program latihan yang ditawarkan untuk memperkasakan usahawan dalam penggunaan platform digital.
Mengulas lanjut, Ramanan memaklumkan bahawa pihaknya juga telah membangunkan pelan strategik perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) 2030.
Pelan itu katanya, adalah bertujuan untuk mentransformasikan PMKS di Malaysia menjadi perniagaan yang mampan serta dapat beradaptasi dengan trend baharu serta cabaran luar jangka melalui peningkatan produktiviti serta daya saing.
Comments