
Generasi muda seharusnya menjadi penggerak dan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan amanatnya petang tadi mahu generasi muda yang merupakan penyambung legasi kemerdekaan tidak menjadi 'perkakas murahan' atau dipergunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa.
Beliau menyeru supaya golongan itu mencari kebenaran, menegakkan keadilan dan menyelamatkan bangsa serta negara.
"Saya gunakan kesempatan kemerdekaan ini untuk mengingatkan anak muda, penerus generasi yang akan menentukan arah ini, maka belajarlah mendapatkan pencerahan sebenar.
"Jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum atau agama, dipermainkan atau diperolok, untuk orang cari wang dan kuasa atau pengaruh.
"Cari kebenaran untuk tegakkan keadilan, selamatkan bangsa dan angkat martabat negara ini, itu tugas generasi muda untuk selamatkan negara," katanya.
Selain itu, Anwar juga mahu generasi muda mendalami ilmu baharu serta tidak melupakan pengorbanan perjuangan pejuang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.
"Sebab itu saya tegaskan, (perlu) pecahkan tembok-tembok yang mengganggu dan menghalang kejayaan kita dan bina kekuatan baharu," katanya lagi.
Comments