Oleh: Akmal Manaf
Gencatan sejata yang dipersetujui antara Israel dan Hamas bagi mengakhiri pertempuran di Gaza merupakan peluang terbaik buat masyarakat dunia menamatkan bencana kemanusiaan terburuk di Palestin.
Menurut Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, gencatan senjata yang bakal dikuat kuasakan pada 19 Januari 2025 ini bakal memberi kelegaan kepada penduduk Gaza apabila bantuan makanan dan ubat ubatan yang sebelum ini dihalang Israel akan mudah memasuki kem kem sementara pelarian.
"Ini tentunya berita baik terutamanya buat rakyat dan bumi Palestin yang telah kehilangan ahli keluarga, kebuluran dan kemusnahan harta benda dan tempat tinggal. Mereka bersyukur dan berharap perang akan dihentikan.
"Ini juga jelas disambut baik oleh masyarakat dan pemimpin dunia. Masing-masing sepakat bahawa persetujuan berkenaan memberi harapan kepada rantau yang bergolak itu dan sebagai batu loncatan ke arah keamanan dan kestabilan yang berkekalan," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, ujar Syed Ibrahim, Anggota Biro Politik Hamas, Khalil Al-Hayya dan pejuang Hamas dalam kenyataan mereka berikrar tidak akan melupakan jasa dan sikap terhormat Malaysia bersama negara-negara lain yang menyokong Palestin ketika diasak konflik dan perang genosid.
Peperangan itu, katanya, disifatkan oleh pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai bencana kemanusiaan terburuk dengan pelanggaran terang-terangan rejim zionis Israel ke atas pelbagai resolusi, kesepakatan dan tuntutan.
Oleh itu, tegas Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin, tindakan kejam rejim zionis sama sekali tidak boleh dilupakan hanya dengan terlaksananya gencatan senjata.
Katanya, Malaysia perlu mempercepatkan inisiatif untuk menyingkirkan negara pengganas itu daripada PBB.
''Pada peringkat awal ini, PBB wajar mengambil langkah yang lebih agresif untuk memastikan tindakan mereka dilaksanakan sepenuhnya, terutama dalam membuka saluran bantuan kemanusiaan berasaskan keputusan ICJ dan Majlis Keselamatan PBB.
''Saya mohon Kerajaan Malaysia memainkan peranan aktif dalam hal ini dengan mendesak dan bekerjasama dengan PBB.
''Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres berkata, keutamaan mestilah untuk meringankan penderitaan teruk yang dialami rakyat Palestin dengan memudahkan bantuan kemanusiaan dengan kadar segera, tidak terhalang dan selamat.
''Beliau (Gutteres) turut menggesa semua pihak untuk menunaikan komitmen mereka dan memastikan perjanjian dapat dilaksanakan,'' ujarnya.
Di samping itu, Ahli Parlimen Ledang berkenaan juga mencadangkan agar Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas bagi pembangunan semula Palestin selari dengan sambutan baik Malaysia kepada Jepun tempoh hari untuk pembangunan Gaza dan Palestin.
"Dengan harapan bahawa rundingan dan perjanjian ini berjalan lancar saya mohon kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas ke arah pembangunan semula Palestin dan Gaza dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, pakar-pakar sektor penting seperti pembinaan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi," katanya lagi.
Comentarios