Gencatan senjata Hamas-Israel yang akan berkuat kuasa pada Ahad ini merupakan kemenangan bersejarah buat rakyat palestin dalam konflik hampir 15 bulan menentang rejim zionis.
Bagi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, gencatan senjata itu membuktikan keberanian pejuang Palestin mengalahkan tentera rejim yang dilengkapi senjata perang termoden menghadapi taktik gerila pejuang Hamas yang serba kekurangan.
"Gencatan senjata adalah kemenangan awal buat rakyat Palestin.
"Keberanian luar biasa rakyat Palestin dikagumi sehingga Zionis terpaksa tunduk untuk gencatan senjata," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Justeru, Dr Mujahid berharap gencatan senjata kali ini akan berkekalan dan tidak dicabuli rejim zionis untuk memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan seperti makanan dan ubat ubatan membantu rakyat Gaza.
Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih di atas usaha keras Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten menyuarakan nasib rakyat Palestin di pentas dunia.
"Terima kasih juga kepada PMX secara konsisten membawa suara tuntutan Palestin di arena antarabangsa," katanya lagi.
Gencatan senjata tiga fasa yang diumum pada Rabu lalu diusahakan oleh Mesir, Amerika Syarikat dan Qatar untuk menamatkan konflik selama 15 bulan di Gaza.
Sepanjang konflik itu lebih 46,700 rakyat Palestin terkorban dan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal.
Malaysia sebelum ini dijemput Jepun untuk menjadi pengerusi bersama persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang memfokuskan pembangunan semula Gaza sebaik sahaja gencatan senjata dimeterai.
Kommentare