Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin mempunyai potensi untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu esok sekiranya jentera Pakatan Harapan (PH)-BN berupaya memujuk pengundi Cina untuk keluar mengundi, demikian menurut badan penyelidik Ilham Centre.
Badan penyelidik itu merumuskan persaingan PRK kekal sengit dan marginal. Menurut Ilham, kedua-dua calon PH dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang seimbang 50-50 dengan PH mempunyai peluang menang jika perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus.
"Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini," kata laporan badan penyelidik itu yang dikeluarkan hari ini.
Laporan disediakan oleh panel penyelidikan Ilham Centre yang terdiri daripada Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi) dan Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik).
Ilham Centre berkata, pihaknya merumuskan bahawa tiga faktor penting bakal menentukan keputusan PRK Sungai Bakap iaitu kadar keluar mengundi etnik Cina, sikap pengundi teras Umno dan hayunan pengundi muda.
"Selain tiga faktor utama tersebut, pemboleh ubah dan faktor lain masih lagi sama seperti senario Pilihan Raya Negeri 2023 yang dijangka tidak akan memberi pengaruh besar untuk merubah keputusan PRK ini," katanya.
Ilham Centre berkata sepanjang kempen PRK tersebut, pengundi Cina yang dianggap deposit tetap PH menunjuk tingkah laku tidak begitu ghairah terhadap PH dan Kerajaan Perpaduan disebabkan beberapa polisi ekonomi kerajaan dan prestasi kerajaan negeri khususnya berkaitan air dan infrastruktur.
"Sebahagian pengundi etnik Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi, begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau juga tidak akan pulang mengundi walaupun jaraknya berdekatan sahaja.
"Namun senario ini tidak berlaku secara blok, sebahagian lagi pengundi etnik Cina tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi," ujarnya sambal menambah pengundi India pula menunjukkan pola sokongan seperti PRN lepas yang lebih ramai cenderung kepada PH-BN.
Laporan itu berkara, secara tradisi Sungai Bakap adalah milik KEADILAN apabila memenangi kerusi ini dalam beberapa siri pilihanraya sebelumnya namun akibat rempuhan gelombang hijau, PH hilang kerusi itu dan dirampas oleh PN dalam PRN Ogos 2023.
"Pemerhatian mendapati gelombang hijau tersebut telah mencapai puncak dalam PRN lepas dan mula berkurang dalam PRK ini. Aura yang terkait sentimen etnik-agama khususnya dalam kalangan pengundi Melayu sudah tidak sehangat PRU15 dan PRN 2023.
"Sama ada kempen secara berdepan atau secara atas talian, sentimen dan emosi berkaitan 3R ini sudah tidak sepanas seperti sebelumnya. Sentimen tersebut masih ada dan masih digunakan dalam kempen, namun sambutan dan kehangatannya semakin mereda," katanya.
Dalam aspek calon, laporan itu berkata, calon PH Dr Joohari yang berlatar belakang kelayakan akademik, kerjaya sebagai cikgu dan orang tempatan menyebabkan majoriti pengundi mengenali dan memberi perspektif baik kepada beliau.
"Dalam masa sama calon PH ini memiliki kemahiran komunikasi yang baik sama ada pengucapan awam atau komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan pengundi," ujarnya.
Kata laporan itu, UMNO menggerakkan jentera kempen yang kuat dan sistematik untuk menyantuni pengundi teras mereka termasuk bergerak secara bersendirian rumah ke rumah untuk berunding dan memujuk pengundi mereka untuk mengundi calon Perpaduan.
Tambahnya pendekatan UMNO untuk mendampingi semula pengundi mereka semakin diterima meskipun sebahagian daripada mereka masih menyokong PN.
Mengenai segmen pengundi muda, laporan itu berkata sokongan kuat golongan itu kepada PN tidak sebagaimana PRN lalu.
Sebanyak sembilan pusat mengundi mengandungi 65 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian, membabitkan seramai 39,151 pengundi berdaftar dan SPR menugaskan seramai 552 petugas pada PRK berkenaan.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dr Joohari dan calon PN, Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pilihan raya kecil tidak akan merubah sebarang status-quo kerajaan negeri yang dikuasai oleh PH-BN.
Komentar