Oleh: Abdulah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menyelar sikap biadab Timbalan Ketua Pemuda Pas yang mendakwa Perdana Menteri sebagai ‘banduan terhormat’.
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan, Ustaz Ashraf Hadi berkata, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu bukan sahaja memalukan malah menunjukkan politik dangkal pemuda Pas yang menggunakan cacian serta tohmahan untuk kelangsungan politik.
"Sebagai sayap parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, pemimpin pemuda Pas sepatutnya lebih bijak dan berakhlak dalam setiap tindakan dan kenyataan mereka.
"Malangnya, tindakan pemimpin pemuda Pas yang cuba membangkitkan fitnah lama ini jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menekankan kepentingan keadilan, menjaga maruah dan kemuliaan akhlak," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Mohd Hafez Sabri menerusi satu kenyataan mengucapkan ‘tahniah’ kepada Perdana Menteri kerana mengakui dirinya sebagai seorang banduan.
Dengan sinis, Hafez meminta semakan terhadap kes-kes berkaitan selain berharap tiada lagi banduan seperti Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ashraf menyifatkan sikap pemimpin pemuda Pas itu menyimpang jauh daripada tokoh-tokoh awal ulama Pas seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang menentang politik fitnah dan keji.
Bahkan katanya, Fadzil Noor juga tidak pernah menjadikan serangan peribadi sebagai modal politik.
"Oleh itu, AMK menyeru pemimpin pemuda Pas kembali kepada nilai-nilai Islam yang sebenar dan berpolitik secara berakhlak serta menjauhi fitnah yang tidak memberi manfaat kepada umat dan negara.
"Tindakan menggunakan fitnah lama hanya menzahirkan kejahilan dan mempersendakan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan, menjaga maruah dan kebaikan dalam setiap perbuatan," ujarnya lagi.
Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap pemimpin muda pembangkang yang sering mengaitkan status beliau sebagai bekas banduan untuk dijadikan modal mengkritik pentadbirannya.
Sedangkan, kata Perdana Menteri, ketika beliau menjadi mangsa kezaliman dulu nama-nama besar dalam pembangkang seperti ulama Pas tampil membela beliau.
"Pemimpin-pemimpin Pas antara pertama benteng pertahankan kami dan menolak fitnah seperti Almarhum Fadzil Noor, ulama besar seperti Tok Guru Nik Abdul Aziz, imam besar seperti Taib Azimuddin, orang-orang ini yang pertahankan saya.
"Kerana apa, kerana mereka tahu hukum, mereka tahu Islam, mereka tahu itu fitnah, mereka tahu bagaimana sang saka tua zalim dan menindas rakyat," katanya dipetik.
ความคิดเห็น