
Fitnah dan tohmahan yang dimainkan secara berterusan oleh pemimpin Pas terutama ke atas musuh politik DAP menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat mengenai tahap intelektual pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli, gejala 'fitnah terbuka' terutama yang dilakukan oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan beberapa pimpinan lain mentohmah ahli politik DAP dengan nama keluarga Lim atau Yeoh, hanya menimbulkan persoalan yang tidak berjawab.
"Dari fitnah sepupu sepapat Lim, kepada fitnah cucu cicit Yeoh, wakil-wakil rakyat Pas terus terpalit dengan gejala fitnah terbuka. Saya cuba faham kenapa perkara ini berlaku.
"Bukan mereka tidak tahu memfitnah seperti ini akan menjatuhkan imej Pas di mata rakyat. Adakah mereka betul-betul tidak tahu?
"Kalau mereka tidak tahu, kenapa mereka tidak semak dahulu. Paling mudah semak dengan ChatGPT atau Deepseek," katanya dalam muatnaik video di Facebook.
Tegas Rafizi dalam kedua dua keadaan, sama ada tidak tahu atau tidak semak fakta terlebih dahulu ianya akan menggambarkan ahli politik Pas semberono dan tidak layak diangkat sebagai pemimpin.
Namun jika mereka tahu fakta, katanya, hal itu akan menimbulkan pertanyaan baharu sama ada wajarkah rakyat Malaysia memberi sokongan kepada ahli politik yang hidup di atas isu perkauman semata mata.
"Satu lagi kemungkinan, mereka sebenarnya tahu Lim Kit Siang bukan sepupu Lee Kuan Yew dan Hannah Yeoh bukan cucu cicit YTL.
"Tapi mereka merasakan jika sentimen ini dimainkan, ia akan meniup api kebencian perkauman kepada orang Melayu demi sokongan politik.
"Mereka mungkin rasa ini strategi politik yang genius, tapi ia memberi gambaran jika mereka bergayut kepada kebencian perkauman untuk berkuasa dan bukannya kecekapan mentadbir maka rosaklah negara," katanya lagi.
Rafizi juga meninggalkan pertanyaan, ahli politik Pas yang suka memfitnah dalam kategori mana. Sama ada tidak membuat rujukan terlebih dahulu atau menggunakan fitnah untuk membodohkan penyokong demi mendapat kuasa mentadbir negeri atau negara.
Untuk rekod, sebelum ini Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad terpaksa membayar sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman kepada tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok kerana mendakwa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta mendiang Lee Kuan Yew.
Kemudian pada bulan lalu, pemimpin Pas Perak, Razman Zakaria pula mendakwa bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay dalam satu ceramah beliau. Bagaimanapun Razman kemudian meminta maaf atas dakwaan tersebut.
Comments