Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN: Krakatoa adalah sebuah pulau gunung berapi di wilayah Lampung, terletak di Selat Sunda yang memisahkan Pulau Jawa dan Sumatera, Indonesia. Kali terakhir Krakatoa meletup dan memuntahkan lahar panasnya pada tahun 2020.
Begitulah fenomena yang berlaku sekarang hasil dari Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2022 secara hybrid atas talian dan juga secara fizikal melalui peranti internet.
Datuk Johari Abdul, Ketua Whip KEADILAN di Dewan Rakyat dan pernah menjadi ketua whip Pakatan Harapan di Parlimen; seorang tokoh politik KEADILAN yang senior; seorang Ahli Parlimen 3 penggal, pernah memegang jawatan Ketua KEADILAN Negeri “Jelapang Padi”; seorang pakar dalam taktik dan strategi “perang saraf” kerana pernah menjadi Pengarah Biro Tata Negara (BTN), bukan calang-calang pemimpin tetapi dalam Pemilihan KEADILAN 2022 beliau tumbang di Cabang Sungai Petani di tangan calon yang tidak dikenali umum di luar Kedah.
Ini gegaran Krakatoa di sebelah Utara.
Aktivis akar umbi dipilih
Di Selatan Semenanjung hal yang sama berlaku. Krakatoa meletup lagi. Seorang doktor perubatan yang dinamis dengan ijazah akademik yang cemerlang, pernah menjadi calon untuk Dewan Undangan Negeri Johor dalam dua pilihan raya umum negeri telah tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Pasir Gudang di tangan seorang aktivis akar umbi parti yang setia dan gigih bergerak di kalangan rakyat jelata dan anggota parti walau hanya berbekalkan kelulusan SPM sahaja.
Selama 13 tahun berkhidmat kepada KEADILAN sejak dari umur mudanya dalam Angkatan Muda KEADILAN (AMK), calon rakyat biasa ini, Murad Jailani namanya tamat “ijazah sebagai aktivis akar umbi parti” dan kini dipilih sebagai Ketua Cabang KEADILAN di kawasan zon perindustrian negara di Pasir Gudang.
Di negeri kecil yang besar sejarahnya yang kerap disebut di tempat di mana semuanya bermula di sana, Melaka, telah berlaku gegaran “Krakatoa”. Siapa tidak kenal Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin? Bekas Timbalan Menteri dalam Kerajaan Pakatan Harapan; Ketua Penerangan KEADILAN; beliau dikenali sebagai “giant killer” yang berjaya mengalahkan pemimpin Umno Ali Rustam dalam PRU tahun 2013 di Parlimen Bukit Katil (kini dipanggil Hang Tuah Jaya).
YB Shamsul Iskandar bukan setakat seorang peguam tetapi beliau juga memegang jawatan besar dalam KEADILAN sebagai bekas Ketua AMK. Bukan calang-calang calon dan tokoh. Turun naik mahkamah kerana memperjuangkan agenda Parti Keadilan. Seorang pemidato yang hebat tetapi berakhir dengan kekalahan dalam pemilihan ketua cabang dan juga tidak bernasib baik dalam persaingan merebut jawatan Naib Presiden KEADILAN. Calon yang mengalahkan Shamsul Iskandar bukan nama besar yang dikenali khalayak di luar Melaka.
Tetapi itulah demokrasi. Itulah kesan pemilihan atas talian dan peranti internet. Itu juga kesan pengundian secara langsung satu anggota satu undi. Tidak ada sistem perwakilan atau “delegate” dalam KEADILAN untuk hak mengundi kepimpinan. KEADILAN telah bergerak jauh ke hadapan berbanding parti-parti politik lain dalam soal memilih pemimpin parti.
Tokoh Reformasi jalanan kecundang
Di tengah-tengah Semenanjung yang terletak dalam Wilayah Persekutuan, satu kejutan berlaku. Kalau Krakatoa meletup di lautan, tetapi di Kuala Lumpur gegar gempa berlaku di bumi bernama Batu. Seorang tokoh KEADILAN yang sinonim dengan perjuangan reformasi bernama Tian Chua juga tewas. Tian yang menjadi Naib Presiden KEADILAN paling lama, sama ada secara lantikan pada mulanya pada tahun 1999, ketika KEADILAN ditubuhkan dan dikuti berpenggal-penggal menang jawatan naib presiden dalam pemilihan demokrasi telah kecundang dan tersungkur kali ini di tangan seorang pemimpin muda KEADILAN, seorang Ahli Parlimen termuda bernama P. Prabakaran berusia 24 tahun.
Tian yang dikenali umum seluruh Malaysia kerana episod duduk berani di tengah jalan di Ibu Kota Kuala Lumpur melawan trak meriam air FRU zaman Reformasi di tahun-tahun 1999, akhirnya mengalami kejatuhannya di tangan seorang aktivis muda parti yang sejak mula menganggap Tian Chua sebagai mentornya.
Kemenangan Rafizi kemuncak gegaran
Manakala keputusan epik dalam Pemilihan KEADILAN 2022 tentu sahaja yang merupakan gegaran terkuat “Krakatoa” ialah keputusan kemenangan calon Timbalan Presiden Rafizi Ramli mengalahkan Datuk Seri Saifudin Nasustion, Setiausaha Agung KEADILAN itu sendiri.
Rafizi meraih 67,895 undi manakala Saifuddin memperolehi 48, 979 undi iaitu perbezaan sebanyak 18,916 undi. Pasukan Rafizi juga menang besar dalam persaingan jawatan utama iaitu memenangi 3 dari empat kerusi naib presiden.
Amat menarik kemenangan Rafizi Ramli yang selama ini sering menyokong dan bersimpati dengan golongan bawahan dan “underdog”. Rafizi yang lama berada di luar "main stream" parti, langsung tidak ada jawatan dalam parti; masih dipanggil “saudara Rafizi” tanpa gelaran Datuk atau Datuk Seri atau YB telah diberi mandat besar oleh ribuan anggota biasa KEADILAN hampir di seluruh Malaysia, kecuali di Perlis dan Sabah.
Rafizi membawa imej hero filem Melayu dan Hidustan, dan mungkin ini juga imej KEADILAN yang menjadi parti politik dengan ideologi progresif; menjadi juara rakyat bawahan, tertindas, terpinggir, imej tanpa nama-nama besar.
Namun begitu simpati kepada calon timbalan presiden seorang lagi, saudara Saifuddin Nasustion. Undi yang diterima oleh Saifuddin juga besar iaitu sebanyak 48,979 undi. Suatu jumlah yang tidak aib atau memalukan. Tetapi Saifudin seorang tokoh besar KEADILAN, orang kepercayaan presiden parti, Anwar Ibrahim; telah diberi amanah menjadi Setiausaha Agung KEADILAN paling lama; pernah menjadi Menteri Kabinet yang berjaya dan cekap dalam Kerajaan Pakatan Harapan; popular dan disenangi oleh parti-parti rakan dalam PH dan juga pembangkang lain, ada segala-galanya termasuk pingat dan darjat dari istana, tetapi tewas dengan majoriti yang besar di tangan Rafizi yang berbekalkan mantra “Ayuh Malaysia” sahaja.
Kedua-dua tokoh calon Timbalan Presiden ini saya kenal rapat. Saya pernah menulis beberapa minggu lalu satu artikel berjodol, "menang mati emak; kalah mati bapa" kemudian disusuli dengan artikel berjodol "Biduk Lalu; Kiambang Bertaut" yang menggambarkan persaingan sengit antara Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution. Amat sukar pada saya secara peribadi di hadapan peranti telefon pintar pengundian atas talian, antara dua sahabat ini, pada akhirnya, pada saat "moment of the truth" siapa jua yang saya mesti pilih? Biarlah ianya menjadi rahsia.
Gegaran permulaan tsunami?
Fenomena letupan dan gegaran “Krakatoa” dalam Pemilihan KEADILAN 2022 ini adalah satu proses alami yang sedang dilalui oleh Parti Keadilan sebagai sebuah parti reformasi yang mendukung agenda perubahan. Hasil Pemilihan KEADILAN 2022 ini adalah satu fasa baru kebangkitan semula dan penyusunan semula parti.
Seperti gegaran dan letupan gunung berapi Krakatoa mencetuskan gelombang besar yang dipanggil tsunami, maka begitulah juga kesan pemilihan dalam Parti Keadilan yang berlaku sekarang ini.
Jika tenaga gegaran dan letupan gunung berapi itu diurus dan ditangani dengan baik, ada kemungkinan muncul sekali lagi tsunami baharu dalam PRU15 tidak lama lagi untuk mengembalikan kuasa rakyat di Putrajaya dan di seluruh negara. InshaAllah.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang
Bình luận