Oleh: Azuan Ab Rahman
Pengumuman gencatan senjata di Gaza memberikan harapan baharu untuk keamanan dan kestabilan di wilayah berkonflik itu.
Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Nurul Izzah Anwar menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman tersebut.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa wilayah itu masih memerlukan kesatuan berterusan semua pihak untuk memastikan gencatan senjata yang diumumkan itu menjadi asas bagi Palestin yang adil dan merdeka.
"Pengumuman gencatan senjata ini memberikan sinar harapan baharu, membuka ruang untuk proses pemulihan dan pembinaan semula dimulakan tanpa berlengah.
"Ketika kita merenung kembali 15 bulan penderitaan yang dilalui rakyat Gaza, kita mesti teguh dalam harapan bahawa gencatan senjata yang rapuh ini adalah permulaan baharu.
"Ini bukan hanya detik untuk berdiam diri, tetapi juga peluang menuntut keamanan yang sebenar dan berpanjangan bagi satu keamanan yang mana pendudukan berakhir, nyawa Palestin tidak lagi menjadi angka statistik dan keadilan tertegak," katanya.
Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula Ahad ini untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang dahsyat di Gaza.
Peperangan Israel di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 46,707 rakyat Palestin dan mencederakan 110,265 sejak 7 Oktober 2023.
Antara rancangan gencatan senjata itu adalah Israel akan memperoleh semula kira-kira 100 tebusan dan mayat termasuk pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari tengah Gaza dan pemulangan penduduk Palestin yang dipindahkan ke utara daerah itu.
Sementara itu menerusi kenyataan sama, Presiden MAHAR Jismi Johari berkata, pihaknya kekal teguh dalam komitmen menyampaikan bantuan kritikal kepada mereka yang terjejas akibat krisis ini.
MAHAR akan terus memberikan sokongan jangka panjang dan menggesa kerjasama antarabangsa untuk memastikan rakyat Gaza menerima bantuan diperlukan bagi membina semula kehidupan, rumah dan komuniti mereka.
"Kami akan terus berdiri bersama rakyat Gaza untuk memastikan mereka menerima sokongan yang sangat diperlukan dalam tempoh kritikal ini," katanya.
Komentar