![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_71539e5ecbbf4d7ca451ed2735e15c11~mv2.jpg/v1/fill/w_519,h_433,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_71539e5ecbbf4d7ca451ed2735e15c11~mv2.jpg)
Garis panduan umat Islam Malaysia menghadiri majlis perayaan bukan Islam tidak perlu diwujudkan.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian dalam muatnaik terbaharu di Facebook Selangor Royal Office.
Baginda tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam, khususnya di negeri Selangor.
Titah baginda, cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian, pada ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
"Polemik yang tercetus ini telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin," titah baginda.
Menurut Sultan Selangor lagi, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan mengunjungi perayaan bukan Islam tidak timbul kerana umat Islam kini tahu batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.
Baginda mengingatkan bahawa sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Bagaimanapun, Baginda menasihatkan umat Islam khususnya di negeri Selangor agar sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata’ala serta meninggalkan segala larangan-Nya.
"Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar," titah baginda lagi.
Isu garis panduan timbul baru baru ini daripada kalangan tertentu yang mahu kerajaan mengeluarkan peraturan ke atas umat Islam yang mahu mengunjungi perayaan kaum lain.
Bagaimanapun hal itu dimatikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu apabila Perdana Menteri berkata hal itu tidak perlu dilakukan.
Namun katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tetap boleh mengeluarkan nasihat kepada muslim yang mahu mengunjungi perayaan kaum lain dalam menjaga batas agama.
Opmerkingen