Oleh: Akmal Manaf
Pemberhentian pemberian tol percuma pada musim perayaan boleh menjimatkan wang kerajaan dan mampu meningkatkan pemberian bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata sekiranya peruntukan itu diberikan kepada golongan sasar ianya akan lebih menggambarkan semangat MADANI, iaitu membantu rakyat yang susah.
''Setiap kali tol percuma diberikan pada musim perayaan, secara purata kerajaan perlu memberi subsidi sebanyak RM20 juta (sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya).
''Contohnya, kalau diberi tol percuma ketika empat musim perayaan iaitu Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, maka RM20 juta itu akan menjadi RM80 juta.
''Saya berpendapat wang itu boleh disalurkan kepada golongan sasar yang memerlukan contohnya apabila tiba musim perayaan. Itu lebih baik,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai keputusan Kerajaan MADANI menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.
Mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak agar kerajaan memberi subsidi separuh daripada harga tol ketika musim perayaan, Tze Tzin tetap dengan pendiriannya iaitu lebih baik dana difokuskan membantu golongan yang memerlukan.
''Yang memandu itu sebenarnya mereka tidak jimat banyak.. mungkin dalam RM20 atau RM30 seorang.
''Kereta mewah pun balik kampung, golongan T20 dan M40 pun balik kampung. Sebenarnya golongan T20 tak perlu subsidi tersebut.
''Jadi saya rasa lebih baik duit kerajaan bantu orang yang susah.. sasar semula subsidi kepada golongan memerlukan,'' ujar beliau yang juga Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia.
Pada 21 Januari lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan dan ia sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet tahun lalu.
Bagaimanapun ujarnya, kerajaan akan menggantikan penamatan tol percuma dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Comentarios