Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Digital akan sentiasa memantau rapat ekoran gangguan perkhidmatan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 Julai lalu sehingga menjejaskan banyak operasi perniagaan termasuk lima agensi kerajaan.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata lima agensi terkesan antaranya Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Lembaga Zakat Kedah yang mengalami gangguan IT.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan insiden pada Jumaat lalu bukan berkaitan keselamatan atau serangan siber tetapi gangguan kelemahan sistem perisian kemas kini kandungan tunggal untuk hos Windows.
"Insiden itu telah mengakibatkan operasi Microsoft terganggu dan pengguna tidak dapat akses sistem komputer mereka yang hanya berwarna biru (paparan di skrin).
"Walaupun insiden ini bukan serangan siber tetapi Kementerian Digital memandang serius kerana banyak syarikat perkhidmatan mengalami gangguan IT sehingga membawa kepada implikasi kewangan mereka," katanya di Sidang Media Menteri Digital, hari ini
Sehubungan itu, beliau telah berjumpa dengan wakil syarikat Microsoft bagi penjelasan lanjut selain mengemukan cadangan untuk memastikam insiden berkenaan tidak berlaku.
"Antara cadangan yang dibawa, pihak pembekal perisian perlu menambah baik prosedur ujian sistem sebelum perisian berkenaan selamat digunakan oleh pengguna.
"Selain itu, syarikat perisian juga perlu ada perancangan tindak balas insiden yang komprehensif bagi memberi pemegang taruh menguruskan sebarang insiden dengan berkesan terutama dalam aspek komunikasi.
"Pembekal perisian juga perlu memberi ulasan berkala dan mengemaskini perisian baharu supaya kita dapat memantau langkah-langkah dan keselamatan terjamin pada setiap masa," ujarnya.
Selain itu, menyentuh soal tuntutan syarikat yang mengalami kerugian akibat gangguan sistem IT, Gobind berkata, aduan boleh dikemuka termasuk tuntutan permohonan kepada pihak berkaitan.
Terdahulu, gangguan IT global menjejaskan beberapa lapangan terbang antarabangsa dan operasi syarikat penerbangan di seluruh dunia, dengan sesetengahnya menghadapi penutupan sementara, penangguhan penerbangan serta gangguan kepada kebanyakan sistem daftar masuk dan tempahan syarikat penerbangan.
Selain itu, gangguan berkenaan turut menjejaskan operasi di syarikat rel, syarikat media dan perbankan.
Di tempat lain, bank-bank India, lapangan terbang dan pasaran saham turut dilanda gangguan IT global, pada Jumaat lalu.
Comments