Gandingan PM Anwar-Thaksin mampu tangani konflik di Myanmar - Penganalisis
- Suara Keadilan
- Feb 23
- 2 min read

Oleh: Fiza Halim
Gandingan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas PM Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi beliau mengenai ASEAN boleh mempercepatkan diplomasi tidak formal dan pendekatan "track two diplomacy" dalam menangani isu Myanmar.
Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Anwar mempunyai kepimpinan yang dipandang tinggi dalam ASEAN dan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berpeluang menggerakkan dasar yang lebih tegas terhadap Myanmar, khususnya dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN, yang gagal dipatuhi junta tentera.
Thaksin pula, katanya, masih mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan Thailand, khususnya melalui Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra. Thailand ialah antara negara yang berinteraksi secara langsung dengan junta Myanmar dan hubungan tersebut boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan rundingan yang lebih efektif.
"Hubungan peribadi dan diplomasi Anwar dan Thaksin mempunyai rekod yang baik serta pemahaman mendalam terhadap landskap politik serantau.
"Walaupun Anwar dan Thaksin mungkin boleh merangka strategi lebih baik, penyelesaiannya memerlukan komitmen global, termasuk Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
"Namun gandingan ini boleh membantu mempercepatkan perbincangan dan membuka ruang diplomasi yang lebih fleksibel, tetapi cabaran geopolitik dan kekangan dalaman ASEAN menjadikan penyelesaian isu Myanmar dan Rohingya masih rumit.
"ASEAN perlu menggunakan pendekatan lebih bersepadu serta tekanan kolektif bagi mencapai sebarang kemajuan bermakna," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain aspek politik, Dr Awang Azman menegaskan bahawa kombinasi Anwar Ibrahim, Thaksin Shinawatra serta Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebagai pemimpin dengan hubungan erat serta pengaruh ekonomi meluas yang boleh memberi impak positif kepada perekonomian ASEAN.
"Ketiga-tiga pemimpin ini mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain. Keakraban ini boleh mempercepatkan pelaksanaan inisiatif ekonomi antara Malaysia, Thailand, dan Indonesia.
"Thailand dan Indonesia adalah dua ekonomi terbesar di ASEAN, sementara Malaysia mempunyai sektor perbankan dan perindustrian yang kukuh. Kerjasama antara ketiga-tiga negara boleh mempercepatkan integrasi ekonomi serantau.
"ASEAN perlu berdepan dengan tekanan ekonomi daripada China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang juga mempunyai kepentingan dalam ekonomi serantau.
"Jika tidak dikendalikan dengan baik, ASEAN boleh menjadi medan persaingan kuasa besar yang merugikan (negara anggota)," kata Dr Awang Azman lagi.
Untuk rekod, Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025, mengambil alih daripada negara Laos sebelumnya. Berbanding pengerusi sebelum ini, PM Malaysia mempunyai jaringan hubungan antarabangsa yang meluas sama ada di Asia, Eropah mahu pun di Amerika Utara dan Selatan.
Comments