Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyarankan agar lebih banyak pihak peruncit dapat mengambil bahagian menyediakan kaunter bagi sumbangan "Bank Makanan' untuk diambil dan diagihkan kepada golongan memerlukan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh ketika berkongsi pengalaman dalam lawatan ke United Kingdom berkata, pasar raya di negara itu telah berjaya menyediakan ruang khas berhampiran kaunter pembayaran untuk pelanggan menyumbangkan makanan atau barangan.
"Hasilnya sangat mengagumkan," kata beliau di Facebook sambil menambah di Malaysia, beberapa peruncit dilihat telah mula melaksanakan kaedah ini dan impaknya sangat positif.
"Namun, kita masih boleh pergi lebih jauh dan saya menyeru lebih ramai untuk mengambil bahagian. Saya sangat teruja apabila bayangkan potensi besar yang ada jika lebih ramai peruncit di Malaysia turut serta dalam mengaplikasikan kaedah seperti ini.
"Bayangkan, mereka yang kurang berkemampuan boleh datang ke pasar raya, mengambil sedikit rezeki yang dikongsi untuk dibawa pulang dan menjamu keluarga," ujarnya.
Tambah Fuziah inisiatif tersebut dapat diperluaskan sekiranya lebih ramai peruncit menyertai usaha itu selain dapat membina komuniti yang lebih penyayang dan prihatin di Malaysia.
"Saya yakin dengan kerjasama yang lebih luas, kita boleh membawa perubahan yang bermakna di Malaysia," katanya.
Terdahulu Fuziah telah memberikan ucapan pada pembukaan Program Kepimpinan Peruncit Global di Said Business School, Oxford University, United Kingdom atas jemputan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) pada Isnin lepas.
"Pada saya, usaha kementerian bersama rakan strategik dalam memajukan sektor runcit negara perlu dihargai kerana ia adalah peluang terbaik untuk peruncit Malaysia belajar dan berkongsi amalan yang boleh membantu memajukan industri runcit di Malaysia dan seterusnya membawa jenama barangan buatan Malaysia ke pasaran global," ujarnya.
Comments