Pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tidak perlu memperdaya rakyat kononnya dasar gaji progresif kepada pekerja swasta telah gagal sehingga mengelirukan banyak pihak.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pengkritik kerajaan yang tidak lagi boleh bertahan menggunakan hujah kos sara hidup naik, manakala inflasi kekal rendah telah beralih menyerang menggunakan isu gaji progresif selepas kerajaan menunaikan janji menaikkan gaji kakitangan awam mulai hujung tahun lalu.
Kata Rafizi, polisi gaji progresif telah dijadikan bahan tohmahan di media sosial sedangkan inisiatif itu telah dilaksanakan sejak pertengahan tahun lalu.
"Gaji progresif dijalankan secara rintis bermula Jun hingga Disember 2024 untuk mengesahkan bahawa ia akan benar-benar memberi kesan kenaikan gaji kepada pekerja swasta yang layak.
"Bagi pekerja di peringkat permulaan, gaji median permulaan naik dari RM1,950 sebulan iaitu sebelum gaji progresif, kepada RM2,200 sebulan. Kenaikan RM250 setiap pekerja.
"Bagi pekerja berpengalaman yang bukan peringkat permulaan, gaji median naik dari RM2,200 sebulan kepada RM2,400 sebulan, iaitu kenaikan RM200 setiap pekerja.
"Kerajaan memberikan insentif (sumbangan kewangan) yang berbeza kepada majikan untuk menaikkan gaji," katanya dalam satu siaran media.
Manakala kata Rafizi, bagi pekerja bukan peringkat permulaan kerajaan telah memberikan insentif supaya kenaikan gaji tahunan sekurang-kurangnya 6% diberikan kepada mereka yang layak.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, sebagaimana kenaikan gaji perkhidmatan awam, Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2025 telah mengumumkan pelaksanaan penuh gaji progresif bermula 2025 dengan peruntukan RM200 juta yang akan memberi manfaat kepada sekitar 50,000 orang pekerja.
Oleh itu, katanya, inisiatif tersebut akan berjalan lancar kerana peruntukan kewangan telah pun diedarkan.
"Insya Allah setiap bulan akan ada pekerja swasta baru yang layak menerima gaji progresif dan sekiranya ini berlaku secara berterusan, kita akan mempercepatkan kenaikan tangga gaji dan gaji median pekerja swasta," katanya lagi.
Comments