Oleh: Ahmad Firdaus Mohd
ULASAN: Sepanjang 2010 hingga 2019, Malaysia mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, sekitar 4 - 6% setahun. Namun purata pertumbuhan gaji bagi tempoh yang sama jauh lebih rendah hanya 2 - 4%.
Pada tahun 2014, KDNK Malaysia meningkat sebanyak 6%, tetapi gaji hanya mencatatkan kenaikan sebanyak 3.5%.
Jurang ini bukan sahaja konsisten malah semakin melebar, menunjukkan bahawa hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara tidak dikongsi secara seimbang.
Pandemik Covid 19, gaji merosot
Ketika pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020, kesannya terhadap gaji pekerja lebih teruk daripada penurunan KDNK itu sendiri. Walaupun KDNK menyusut sebanyak -5.6%, gaji purata jatuh lebih mendalam hingga -9%.
Walaupun terdapat pemulihan ekonomi pada tahun 2021-2023, dengan KDNK meningkat semula sebanyak 3-6%. Pertumbuhan gaji masih lesu hanya sekitar 2-4%.
Ini mencerminkan pemulihan yang tidak sama rata, dengan pekerja masih menanggung beban krisis lebih lama daripada pemulihan ekonomi itu sendiri.
Kenaikan inflasi membebankan
Kenaikan gaji yang kecil lebih membimbangkan apabila dibandingkan dengan kadar inflasi tahunan, yang berada di sekitar 2-3%.
Satu lagi indikator yang jelas menunjukkan ketidakpadanan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan pekerja ialah nisbah gaji kepada KDNK.
Di Malaysia, nisbah ini hanya sekitar 35-40%, jauh lebih rendah daripada negara maju seperti Singapura, Jerman, dan Amerika Syarikat, di mana nisbah tersebut antara 42-54%.
Ini bermaksud bahawa pekerja di Malaysia hanya menikmati sebahagian kecil daripada kekayaan yang dihasilkan oleh negara berbanding pekerja di negara lain, menunjukkan pengagihan kekayaan yang tidak seimbang.
Kesan sosial ketara
Jurang yang semakin melebar antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan pekerja mencetuskan kesan sosial yang ketara.
Golongan berpendapatan rendah dan sederhana semakin tertekan dengan kos hidup yang meningkat, manakala gaji mereka tidak berkembang secukupnya. Ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, tetapi juga menambah kepada rasa ketidakadilan dan ketidakpuasan dalam kalangan rakyat.
Jika dibiarkan berterusan, keadaan ini boleh mewujudkan ketidakseimbangan sosial yang lebih serius dan memperluaskan jurang kekayaan di negara ini.
Berdasarkan fakta dan realiti yang sukar dinafikan ini, jelaslah mengapa dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700. Langkah ini bukan sekadar strategi ekonomi, ia adalah satu keperluan moral dan sosial.
Kerajaan nampaknya memahami bahawa pertumbuhan ekonomi yang signifikan tidak bermakna apa-apa jika rakyat yang bekerja keras setiap hari tidak merasakan faedahnya.
Kenaikan gaji minimum adalah suatu usaha untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang telah wujud sekian lama. Memastikan bahawa kekayaan yang dihasilkan oleh negara dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, terutama mereka yang paling terkesan oleh kos hidup yang semakin tinggi.
Dengan gaji minimum RM1,700, kerajaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat, tetapi juga mengangkat martabat pekerja.
Comments