Prestasi perkhidmatan ketua pengurus biasanya menentukan tangga gajinya dalam sesebuah organisasi.
Namun berdasarkan perbandingan yang dilakukan baru baru ini oleh portal Malaysiakini mendapati Menteri Besar (MB) Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai paras gaji yang lebih tinggi iaitu RM30,000 sebulan berbanding Perdana Menteri Malaysia sebanyak RM22,826.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusof, tahap prestasi MB Samsuri secara perbandingan seharusnya berada di atas Datuk Seri Anwar kerana gaji yang diperuntukkan kepada beliau amat tinggi. Apatah lagi, katanya, PM tidak mengambil gaji untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
"Bila kita tengok gaji antara MB Terengganu dengan PM, gaji MB lebih tinggi daripada gaji PM. Tetapi prestasi PM jauh mendahulu MB Terengganu, yang dicanangkan oleh Pas sebagai calon PM (Perikatan Nasional)
"Jadi persoalan yang timbul, bagaimana dengan gaji yang lebih tinggi tetapi (prestasi pengurusan ekonomi) pertumbuhan ekonomi Terengganu jauh lebih rendah daripada purata pertumbuhan ekonomi negara," katanya kepada Suara Keadilan.
Nazri juga bertanya, apakah perancangan MB Samsuri untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam di Terengganu juga bagaimanakah MB itu akan menyediakan insentif kepada kakitangan awam berikutan kenaikan gaji di peringkat pusat tahun hadapan.
Sehubungan itu, beliau meminta Pas melihat semula 'calon pengganti PM' tersebut, adakah wajar Samsuri terus dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar selepas ini.
"Bila melihat bahawa pengurusan kerajaan Terengganu yang tidak berkembang dengan baik berbanding kerjaaan pusat, bagaimanakah Pas terus meletakkan Samsuri sebagai calon PM.
"Sedangkan dengan gaji lebih rendah prestasi PM Anwar jauh melebihi prestasi MB Terengganu," katanya lagi.
Comentarios