Gagasan Malaysia Madani yang dijadikan dasar negara oleh Perdana Menteri memberi ruang pemikiran baharu kepada penyuburan ilmu dan akhlak Islam dalam pemerintahan dan politik.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, gagasan itu yang menyuburkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang dalam setiap anggota masyarakat dilihat mampu mewujudkan keamanan, kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan yang berterusan di Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Sanawi ke 53, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kompleks Pendidikan SRI Seremban, Negeri Sembilan semalam.
"Gagasan Malaysia Madani yang diangkat oleh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pencerahan tentang bagaimana ilmu pengetahuan, dan (mengajak) kembali kepada ajaran Islam sebenarnya yang akan menjamin kemajuan dan peradaban," katanya.
Dr Zulkifli dalam ucapan itu turut berkongsi beberapa perkembangan di luar negara khususnya sewaktu beliau menyampaikan syarahan di United Kingdom baru-baru ini, di mana negara tersebut bergelut dengan rusuhan dan ketidakstabilan.
Katanya, rusuhan tersebut diapi apikan oleh berita palsu yang menyalakan kebencian serta perasaan anti muslim. Fenomena Islamofobia juga, kata beliau semakin menular malahan kebencian bukan hanya terhadap Muslim tetapi melarat kepada Islam sebagai agama dan Islam sebagai tamadun.
Justeru Dr Zulkifli berkata, Malaysia perlu belajar dengan apa yang berlaku di luar negara. Perpaduan adalah kekuatan masyarakat negara ini untuk mendepani realiti era pasca normal.
Oleh itu, katanya, Malaysia Madani amat penting bagi menyediakan satu kerangka sejagat berasaskan nilai mempersiapkan rakyat menangani cabaran dan realiti baharu.
Tambah beliau, dunia sentiasa melihat Malaysia sebagai sebuah model negara negara aman, damai dan hidup dengan penuh kerukunan berpaksikan fiqh at-ta’ayush, yang mempromosi idea wasatiyah dan hidup bersama dalam budaya damai.
Sementara itu, dalam Muktamar Sanawi yang dihadiri oleh tetamu dan perwakilan seramai 500 orang dari seluruh negara tersebut, Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin membentangkan Ucapan Dasar bertajuk "Misi Khayra Ummah; Lima Dekad Memaknai Ibrah Sejagat "Kebangkitan Nusa dan Anjakan Global".
Comments