
Gabungan Bina Semula Syria (GBSS) terdiri daripada 20 Badan Masyarakat Madani (CSO) baru baru ini melancarkan kempen bantuan kemanusiaan kepada penduduk negara itu yang baharu sahaja bebas dari kekejaman kerajaan kuku besi Bashar al Assad.
Majlis yang diadakan di Cyberjaya tersebut dengan tetamu utama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, berlangsung sederhana tetapi menekankan keperluan rakyat Syria dibantu untuk memulakan negara baharu.
Bagi Dr Zulkifli, Syria bukanlah asing buat beliau kerana pernah ke negara itu dalam misi kemanusiaan beberapa tahun lalu.
"Masih segar dalam ingatan saya debu-debu perang, tangisan anak yatim Syria, dan senyuman tabah seorang ibu yang kehilangan segalanya tetapi mereka yang diuji ini sering melafazkan ‘hasbunallah wa ni’mal wakil’ (cukuplah Allah bagi kami).
"Tetap teguh jiwa dan sentiasa meniti di bibir mereka keyakinan bahawa walaupun telah kehilangan segalanya mereka masih mempunyai Allah yang Maha Kuasa," katanya dalam ucapan pelancaran kempen kemanusiaan itu.

Dr Zulkifli menyatakan kekagumannya dengan semangat rakyat Syria yang tidak jauh beza dengan rakyat Gaza yang turut pernah dilawati beliau dalam misi bantuan.
"Saya ingat ketika pertama kali mengunjungi kem pelarian di sempadan Turki-Syria, malah ketika berada di Syria anak-anak yang kehilangan keluarga, ibu-ibu yang terpaksa mengorbankan segalanya demi sesuap nasi dan bapa-bapa yang berjuang mempertahankan maruah keluarga," ujarnya pada majlis pelancaran GBSS.
Majlis Grand Iftar For Humanity itu mengundang kira-kira 100 pelarian Syria dan menyaksikan inisiatif murni itu merangkumi pelbagai sektor, termasuk ekonomi serta pendidikan.
Kata Dr Zulkifli, selepas lebih sedekat melalui zaman perang dan kezaliman, rakyat Syria diharapkan akan mempunyai negara yang bertamadun selepas ini.
"Selepas 14 tahun penderitaan dahsyat, sekurang-kurangnya kini ada harapan baharu dalam aspek ekonomi, pendidikan, dan politik.
"Kita mendoakan Syria kembali makmur serta mencapai kestabilan ekonomi dan politik," katanya.
Dalam majlis itu juga para pelarian menerima bantuan makanan asas dan sumbangan wang tunai bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
Turut hadir bersama ialah Pengerusi GBSS, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor, Pengarah Grand Iftar, Syahrir Azraf Saleh, pempengaruh, Farah Lee serta pimpinan CSO kemanusiaan seperti ABIM, HALUAN dan IKRAM.
Comments