![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_0fd04d89a6d84a479a24b9549a1d0950~mv2.jpg/v1/fill/w_636,h_420,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_0fd04d89a6d84a479a24b9549a1d0950~mv2.jpg)
Oleh: Akmal Manaf
Kejayaan Kerajaan Perpaduan mengungguli beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota jelas menggambarkan sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selaras kejayaan dikecapi, Angkatan Muda Harapan (AMH) tampil mencadangkan 'Formula Menang Bersama' bertujuan memastikan setiap keputusan diambil di bawah Kerajaan Perpaduan memberi faedah kepada semua pihak tanpa menafikan peranan mana-mana komponen gabungan.
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, kepimpinan Kerajaan Perpaduan perlu memperhalusi formula tersebut dan menjadikannya sebagai dasar pelaksana di semua peringkat pentadbiran, seperti yang telah berjaya dilakukan di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.
Katanya, formula itu bukan sahaja akan mengelakkan sebarang konflik dalaman, malah berpotensi untuk mengukuhkan perpaduan di semua peringkat, sama ada di negeri mahupun Persekutuan.
"Ini selaras dengan saranan cadangan Veteran UMNO, Mustapha Yaakub agar 'formula jalan tengah' diwujudkan untuk memperkukuh kesinambungan Kerajaan Perpaduan dan memastikan setiap komponen diberikan peranan sewajarnya.
"Dengan menginstitusikan dasar ini di semua peringkat, kami yakin Kerajaan Perpaduan dapat memperkukuh perpaduan, menstabilkan politik, dan mengekalkan keyakinan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional berpendapat, pertumbuhan ekonomi yang pesat, taraf hidup rakyat yang lebih baik, serta negara yang lebih harmoni dan madani akan dapat dihasilkan jika tindakan itu diperkukuhkan.
Comments