Fokus model lama pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Tenggara perlu berubah daripada yang menumpukan insentif cukai dan pengambilan pekerja kos rendah kepada model pemindahan teknologi serta inovasi asli untuk mencipta kejayaan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Kementerian Ekonomi bakal melancarkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada tahun depan sekaligus memberi penekanan kepada model kerjasama teknologi dengan negara-negara lain yang menumpukan aspek harta intelek, penyelidikan dan pembangunan serta pemilikan dalam usaha untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.
"Kecuali Singapura, negara-negara Asia Tenggara yang paling pesat membangun pun turut terjebak dalam perangkap pendapatan sederhana - terlalu mahal untuk bersaing dalam pembuatan kos namun tidak cukup inovatif untuk bersaing dalam aspek teknologi.
"Kita ditekan dari bawah (kos) serta atas (teknologi)," katanya dipetik pada Sesi 5 Persidangan Kepimpinan, Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau sebelum itu menegaskan Malaysia akan menggandakan strategi mengukuhkan kerjasama dan perdagangan dengan negara-negara lain pada 2025, berpandukan tiga prinsip asas itu adalah keutamaan pembangunan, prinsip jiran yang baik serta pemikiran yang melangkaui perdagangan.
Mengulas prinsip dasar jiran yang baik Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, ia bukanlah prinsip dari segi moral semata-mata tetapi turut berteraskan prinsip strategik ekonomi.
"(Perjanjian antara Malaysia dan Singapura bagi) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dijadual dimeterai pada Januari 2025, membuktikan kita masih mampu mengekalkan persaingan sihat dan bekerjasama dalam bidang yang saling berkepentingan kerana yakin negara jiran yang baik juga dapat meningkatkan lagi kemakmuran," katanya.
Comentarios