
Oleh: Norani Nordin
ULASAN BERITA: Sejak menerajui Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering mengambil langkah berani yang agak memeritkan demi kesejahteraan rakyat.
Yang dengki hati atau suka melihat negara kucar kacir, pastinya apa sahaja tindakan PMX sering diperlecehkan dengan momokan politik murahan.
Baru-baru ini, PMX melahirkan kebimbangan dengan amalan politik kebencian yang makin menebal sehingga fakta tidak dipedulikan sama sekali.
Lantaran kebencian itu katanya, apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan akan dikritik dan dikecam habis-habisan.
"Lihat di media sosial pembangkang termasuk kempen (pilihan raya kecil) di Sungai Bakap, apa yang dia (pembangkang) tidak tulis.
"Dajjal, ejen Israel, Yahudi, jual negara ini kepada China… semua dia sebut.
"Saya tak peduli kerana saya fikir saya punyai tugas," katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Jika kita perhatikan, terutamanya sejak kebelakangan ini, apa yang disebut Perdana Menteri itu memang tidak boleh dinafikan kebenarannya.
Semua perkara yang dilakukan kerajaan dikecam dan dihentam seolah-olah tiada kebaikan langsung dilakukan kerajaan madani ini.
Enggan lihat sisi baik kerajaan
Mengapa kecaman dan hentaman itu berterusan tidak lain hanyalah kerana politik kebencian yang terlalu menebal sehingga mereka enggan melihat kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan.
Jika begini berterusan sikap mereka, tidakkah negara akan rosak akhirnya?
Begitu pun, mujur Perdana Menteri seorang yang cekal dan tidak mudah mengalah dengan politik kebencian yang ditanam itu.
Menurut Anwar, kerajaan pimpinannya akan terus bekerja untuk memastikan martabat negara diangkat ke tahap yang sepatutnya.
"Saya tidak ada pilihan, kita kena pegang amanah," tegas Anwar.
Dengan kerja keras PMX yang mahu membina negara ini, apa yang diharapkan akhirnya ialah politik kebencian itu akan tenggelam dengan sendirinya dan mereka yang mengamalkannya akan dibenci oleh rakyat di peti-peti undi setiap lima tahun sekali.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments