Oleh: Akmal Manaf
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) hari ini membuat laporan polis ke atas sebuah akaun YouTube yang menampilkan pempengaruh media sosial dikenali sebagai Papagomo mentohmah pemimpin Kerajaan Madani.
Timbalan Pengerusi Sekpur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata laporan polis itu dibuat kerana terdapat unsur menghasut, memfitnah dan membuat persepsi jahat terhadap Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Dia mengatakan PM telah melakukan sabotaj, oleh sebab itu pelabur-pelabur di Kedah telah lari.
''Lepas itu Papagomo pula kata ada unsur-unsur ugutan daripada PMX kepada pelabur sehingga mereka lari, termasuk juga pelabur lari di Terengganu, Kelantan dan Perlis.
''Kalau kita orang yang bertanggungjawab, kita tak akan buat (tohmahan) macam itu. Akhirnya kalau orang percaya, pelabur takut, rakyat takut, negara pun rugi,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Razali menyifatkan, kenyataan Papagomo itu adalah fitnah hasutan yang menimbulkan persepsi jahat kerana tidak mempunyai bukti.
Pengerusi Sekretariat, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa yang turut serta membuat laporan polis mencadangkan kepada kepimpinan negara agar bertindak berani mengikut lunas undang-undang yang ada berkaitan isu tersebut.
Katanya, saluran media sosial perlu dipastikan tidak digunakan untuk kepentingan peribadi atau politik sempit yang dibawa sebahagian rakyat Malaysia.
''Kita sepatutnya bersyukur kerana mempunyai kepimpinan baharu yang menggabungkan semua elemen, semua parti, bangsa dan kaum untuk kepentingan negara supaya aman makmur dan sejahtera.
''Tetapi dengan bahasa-bahasa sebahagian daripada pihak pempengaruh ini, mereka sengaja mewujudkan keadaan yang tidak stabil buat negara kita," katanya.
Manakala Naib Pengerusi Sekpur, Shahbudin Embon berkata, beliau menyifatkan golongan yang suka menabur fitnah itu sebagai manusia toksik.
''Bukan dia seorang sahaja, Chegu Bard dan Papa Berry juga sudah kena (tindakan) apabila kami membuat laporan.
''Begitu angkuh golongan-golongan toksik ini yang menggunakan media sosial di negara ini,'' bidas beliau.
Comments