KEADILAN Sabah hari ini membuat laporan polis terhadap fitnah tular di media sosial kononnya Perdana Menteri (PM) campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap dakwaan beberapa ADUN Sabah menerima rasuah dan didedahkan dalam rakaman video baru baru ini.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin, laporan tersebut dibuat ke atas beberapa page media sosial yang terang terangan mendakwa tujuan PM menghalang siasatan itu adalah untuk mendapatkan lebih banyak kerusi DUN bagi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada tahun hadapan.
"Ada beberapa page yang menyiarkan fitnah mendakwa PM menghalang siasatan SPRM kerana ingin memaksa atau mendesak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji memberikan lebih kerusi kepada PH.
"Ini adalah satu fitnah yang amat jahat kepada YAB Perdana Menteri dan kita buat laporan polis hari ini agar pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan kepada individu yang memfitnah PM," katanya dipetik Daily Express Malaysia dalam sidang media di luar IPD Kota Kinabalu selepas membuat laporan.
Menurut Razeef lagi, mustahil PM yang terkenal anti rasuah akan menghalang siasatan oleh SPRM.
Sebaliknya, kata beliau, PM sejak berkuasa pada 2022 telah memberi kebebasan kepada agensi itu untuk menjalankan sebarang siasatan ke atas sesiapa sahaja.
"Kita yakin PM tidak akan mengganggu dan memberi ruang seluaskan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan
"Kita harap tindakan pantas diambil (pihak polis) untuk mengekang penularan fitnah terhadap PM. Kita nasihatkan pihak di luar sana memastikan sebelum menyebarkan maklumat, pastikan maklumat itu sahih," katanya lagi.
Comments