Perbuatan membuat tohmahan dan kemudian meminta maaf yang dilakukan pemimpin Pas berulang kali menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
Bagi Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir, biarpun permohonan maaf Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria kerana terlanjur mentohmah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam isu kibaran bendera China di Menara Condong Teluk Intan beberapa bukan lalu dianggap baik tetapi kerosakan telah pun dilakukan.
Katanya, kesan fitnah yang disebarkan kepada masyarakat tidak boleh dipandang ringan dan perbuatan menuduh secara semberono telah menjadi amalan pemimpin Pas negeri.
"Ini bukan kali pertama pemimpin Pas membuat kenyataan berbaur fitnah dan kemudiannya memohon maaf selepas diancam tindakan undang-undang.
"Pola yang sama juga berulang, membuat tuduhan, menyebarkan kebencian dan kemudian memohon maaf selepas disaman.
"Sikap ini amat membimbangkan kerana ia mencerminkan kepimpinan yang tidak bertanggungjawab.
"Tindakan fitnah memfitnah pemimpin kerajaan dengan tuduhan tidak berasas ini bukan sahaja mencemarkan nama baik individu terbabit, malah lebih serius lagi ia telah menimbulkan kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat. Naratif palsu yang disebarkan telah merosakkan nilai perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Munzirie, rakyat di Perak khususnya dan Malaysia amnya perlu menilai dengan teliti sikap kepimpinan yang suka melemparkan tuduhan tanpa usul periksa, kemudian memohon maaf selepas didesak.
Perkara tersebut, katanya, bukan isu kecil tetapi menggugat perpaduan dan keharmonian berbilang kaum yang telah dibina sejak sekian lama.
"Adalah malang apabila ada pemimpin sanggup mengorbankan keharmonian kaum demi agenda politik sempit.
"Pas perlu berhenti daripada menggunakan sentimen perkauman sebagai modal politik kerana ia hanya akan merugikan negara dalam masa jangka panjang," katanya lagi.
Pada 25 Okt lalu, Kor Ming menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam penganjuran Sambutan Guan Gong Sedunia di Menara Condong, Teluk Intan, dan terdapat peserta yang mengibarkan bendera China.
Kor Ming dalam satu laporan media berkata, beliau tidak berada di tempat kejadian dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan insiden tersebut.
"Saya rasa rakyat boleh melihat sendiri (dakwaan) tohmahan dilemparkan ke atas diri saya... kononnya saya merasmikan perarakan itu tetapi malam tadi, saya bermesyuarat di Kuala Lumpur. Bagaimana saya boleh berada di dua tempat pada masa sama? Jelas ini adalah pembohongan.
"Razman kata saya anjurkan (perarakan itu), tetapi bukan anjuran saya pun," katanya selepas melawat Pangsapuri Jalan Hospital, Ipoh sebagaimana dilapor Berita Harian dua bulan lalu.
Comments