Oleh: Abdullah Zaid
Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN menyifatkan dakwaan Ketua Pemuda Pas yang cuba mengaitkan seks luar tabie terhadap pemimpin utama negara pada Muktamar Tahunan parti itu baru baru ini adalah dangkal dan kebudak-budakan.
Ketuanya, Ustaz Amidi Abdul Manan berkata, wakil Pemuda Pas itu sepatutnya sedar bahawa tuduhan liwat pada perbicaraan di mahkamah sivil sedekad lalu atau sebelumnya terlalu banyak ‘kecacatan’ yang bertujuan untuk membunuh karier politik pemimpin berkenaan.
Malah, katanya, ‘kecacatan’ itu yang diambil oleh pemimpin Pas terdahulu mempertahankan pemimpin negara tersebut daripada terus dianiaya.
"Inilah pendirian yang diambil oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Mursyidul Am Pas) dan Datuk Fadzil Noor (bekas Presiden Pas).
"Kata-kata Afnan (Ketua Pemuda Pas seolah olah) memberikan maksud bahawa kedua-dua bekas pemimpin Pas itu amat mudah tertipu dan tidak cermat dalam membuat pendirian," katanya ketika dihubungi.
Jelas Amidi, perbuatan pemimpin Pemuda Pas itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan pembuktian liwat berdasarkan hukum Islam memerlukan empat saksi mata yang tidak pernah dibawa ke mahkamah sivil untuk memberi keterangan.
Berdasarkan hukum Islam, tanpa empat saksi itu sesiapa yang menuduh boleh dikenakan hukuman qazaf.
"Adalah sesuatu yang mustahil jika Afnan tidak memahami persoalan qazaf, atau beliau dengan sengaja mahu memposisikan dirinya sebagai individu terpaling hebat menghentam (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar sehingga sanggup mengenepikan prinsip akhlak Islamiah.
"Sedarlah jika kita mengenepikan prinsip akhlak ini, kemuliaan sebagai pejuang Islam telah terlucut dari diri kita. Tiada sebarang keuntungan kepada perjuangan Islam, malah ia merugikan Islam itu sendiri," ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular sebuah video Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mengaitkan tuduhan liwat terhadap seorang pemimpin negara pada Muktamar Tahunan Pas di Temerloh, Pahang.
Dakwaan pemimpin Pas itu sekali gus menimbulkan reaksi pelbagai pihak yang menggesa beliau dikenakan tindakan undang-undang.
コメント