SURAT TERBUKA: 1. Saya menulis surat terbuka ini selaku wakil rakyat di Parlimen Kuantan mewakili puluhan ribu keluarga yang tinggal di pinggiran lembangan Sungai Belat yang telah menjadi mangsa banjir hujung tahun 2021 dan awal tahun 2022. Kini mereka didalam keadaan risau, buntu, ketakutan dan juga trauma. Kesan banjir yang lalu belum lagi habis di rasai dan di masa yang sama sudah pun keluar amaran dari Jabatan Metereologi berkenaan fenomena ‘La Nina’ yang dijangkakan membawa hujan lebat pada bulan November tahun ini, yang diunjurkan lebih lebat dari tahun lepas. Bencana banjir besar kemungkinan berlaku dan mereka masih lagi trauma dengan tragedi tahun lepas di mana air naik secara mendadak akan berulang ke kediaman mereka. Kawasan ini sebelum ini meskipun pernah berhadapan banjir akan tetapi situasinya tidaklah seburuk pada tahun lepas.
2. Yang lebih merisaukan dan menambah kepada kebuntuan mereka ialah keadaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sg Belat yang di perhatikan sebagai bermasalah sejak kerja kerja pelaksanaan ini bermula pada tahun 2018. Sehingga kini projek ini telah tertangguh lebih dari 20 bulan bermula tahun 2020. Dalam pada masa yang sama alasan yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian dalam Simposium Perubahan Iklim di Parlimen Malaysia pada 5 September 2022 (Isnin) baru baru ini pula menyatakan bahawa kelewatan tersebut di sebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sebelum ini.
3. Saya melihat di dalam aktiviti turun lapangan di Kawasan projek tersebut mendapati kegagalan rumah-rumah pam di RTB tersebut sekiranya gagal berfungsi sewaktu bencana banjir berlaku di jangka akan menambah kepada kegawatan kerana air banjir akan terperangkap di sekitar kawasan perumahan, memandangkan benteng benteng air sudah pun mengepung aliran air dari mengalir keluar ke sungai.
Yang Berhormat Menteri (YBM) perlu menjelaskan kepada isu ini kerana ianya berlanggaran dengan Seksyen 19(1) Akta 172.
4. Setakat ini pihak kementerian berdiam diri berkenaan hal ini. Lawatan saya secara mengejut ke tapak projek mendapati tiada pekerja yang bekerja di tapak tersebut. Ada juga lawatan saya di waktu lain menemui pekerja yang mendakwa mereka tidak di bayar gaji. Sekiranya perkara ini benar, ianya harus diterangkan kepada bakal-bakal mangsa banjir serta jalan penyelesaian dan bukan setakat meletakkan alasan kepada PKP semata mata sebagai jawapan selamat dari pihak kementerian.
5. Hakikat ini lah yang mencetuskan usaha saya untuk terus bersuara secara lantang demi rakyat.
6. Hasilnya satu dialog telah diaturkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama wakil penduduk pada 29 Ogos 2022 (Isnin) bertempat di Dewan PM Najib, Taman Belukar Maju, Kuantan dengan tujuan untuk menjelaskan kepada penduduk
berkenaan status RTB tersebut serta mendengar masalah rakyat seperti yang dilampirkan (Lampiran 1). Namun dialog ini kemudiannya dibatalkan dan ditangguhkan tanpa sebab yang munasabah serta tiada tarikh baru diberikan (Lampiran2)
7. Kemudian saya menganjurkan pula lawatan ke tapak rumah-rumah pam di RTB Sg Belat bersama wakil-wakil penduduk yang diiringi wakil Jurutera Projek. Pada mulanya sudah ada persetujuan untuk beliau, wakil Jurutera Projek akan hadir. Akan tetapi pada pagi lawatan tersebut dijadualkan berlaku, secara tiba-tiba pegawai tersebut memaklumkan tidak dapat hadir kerana dipanggil ke Putrajaya
8. Untuk makluman, ketika ini ramai yang sudah bercadang untuk pindah keluar sementara untuk tempoh tiga bulan dari sekarang. Akan tetapi bukan semua yang mampu berbuat demikian. Majoriti penduduk di situ terutama dari golongan B40 tidak mampu dan tidak upaya untuk atasi keadaan sedia ada sekiranya berlaku kembali bah banjir seperti sebelum ini.
9. Setakat ini YB Menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berjanji dengan saya bahawa beliau akan turun ke tapak lokasi RTB Sg Belat ini. Saya menggesa kepada YB Menteri supaya mempercepatkan tindakan beliau kerana kerisauan penduduk di situ harus di dengari serta pelan tindakan perlu di bentangkan kepada penduduk
10. Untuk tidak berdiam diri saya juga telah mencadangkan wakil-wakil penduduk merancang tindakan yang harus di ambil di dalam komuniti sekiranya berlaku banjir di mana air naik secara mendadak seperti hujung tahun lepas. Di samping itu satu Jawatankuasa Bertindak diwakili semua wakil-wakil penduduk dari setiap kampung telah pun di bentuk dan ianya melibatkan begitu banyak kampung dan taman.
11. Ada juga persoalan dari kalangan penduduk samada mereka boleh menyaman pihak JPS di atas kecuaian sekiranya berlaku banjir besar lagi sekali tahun ini? Maka di atas dasar ini saya menggesa YB Menteri segera turun ke lapangan dan bersikap terbuka. Berterus teranglah berkenaan masalah sebenar sebelum nasi menjadi bubur. Masih ada masa 2 bulan berbaki sebelum November untuk mengambil tindakan sekiranya YB Menteri bertindak dengan kadar segera. Saya kira rakyat perlu mendengar apa rancangan pihak kementerian untuk memastikan bahawa impak dari bencana banjir ini dapat diminimakan.
12. Akhir sekali terima kasih saya ucapkan bagi pihak rakyat warga Kuantan. Semoga kita dapat bertindak proaktif untuk tangani bencana ini sebelum ianya terjadi.
________________________________________________________________________________
Penulis Ahli Parlimen Fuziah Salleh merupakan wakil rakyat bagi parlimen Kuantan untuk penggal ketiga
Comments