Faktor hujan peratus keluar mengundi PRK Pulai rendah
- Suara Keadilan

- Sep 9, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat jam 4 petang tadi, peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai mencatatkan hanya 44 peratus.
Dari tinjauan Suara Keadilan hujan lebat di sekitar parlimen itu pada 9 pagi dan petang sekitar 4 petang tadi menyukar orang ramai untuk turun keluar mengundi.
Keluar mengundi rendah bukan sahaja di kawasan penempatan Melayu malah di kawasan bukan Melayu, sekolah Cina dan sebagainya tidak memberansangkan.
Pengundi yang bekerja di Singapura diharapkan pulang juga tidak ramai yang menyahut seruan untuk menunaikan tanggungjawab.
Meskipun pusat mengundi dibuka sehingga ke pukul 6.00 petang namun hampir tiada satu pun pusat pembuangan undi yang menyaksikan pengundi beratur menunggu giliran sebagaimana pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
Semalam, pihak badan pilihanraya itu menjangkakan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus bagi parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram namun dilihat amat meleset pada hari ini.
Sebagai rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Calon Harapan Parlimen Pulai (PH) Suhaizan Kaiyat berdepan saingan tiga penjuru dengan menentang calon PN, Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan calon Bebas, Samsuddin Mohd Fauzi.
Bagi calon DUN Simpang Jeram pula, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri berdepan dengan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.









Comments