Pembangkang dan laskar sibernya dinasihatkan menghormati fakta dan jangan terus membodohkan rakyat berhubung situasi ekonomi negara terbaharu.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, komen komen di media sosial yang tidak mempercayai data dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara hanya akan membawa rakyat ke arah pembodohan ekstrem yang menjadikan sebahagian rakyat negara ini anti-realiti dan bakal kalah bersaing dalam semua bidang.
"Hari ini, Jumaat 19 Julai 2024, Jabatan Perangkaan Negara mengeluarkan anggaran awalan atau advance estimate angka pertumbuhan ekonomi negara bagi suku kedua dari April ke Jun 2024.
"Ekonomi Malaysia tumbuh 5.8% bagi suku kedua 2024 berbanding suku yang sama tahun lepas. Ini menjadikan pertumbuhan separuh tahun Januari ke Jun 2024 sebanyak 5%, iaitu dalam lingkungan sasaran pertumbuhan 4-5% bagi 2024, seperti yang dirancang kerajaan.
"Prestasi baik ini dijangka akan terus mendorong pengukuhan nilai ringgit dan kenaikan pasaran saham, selain terus menarik pelaburan yang mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat," katanya dalam satu siaran media.
Tegas Rafizi, rakyat Malaysia tidak selayaknya percaya kepada propaganda laskar siber pembangkang kononnya ekonomi merudum.
Mempercayai propagadan sedemikian, katanya, suatu tindakan yang tidak menghormati ilmu dan kenyataan.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN itu, dengan peningkatan terbaharu dalam semua sektor ekonomi, tidak syak lagi Malaysia akan bangkit kembali sebagai kuasa baharu ekonomi di rantau Asia Tenggara pada masa hadapan,
"InshaAllah ekonomi negara akan terus mengukuh, tetapkan hati kita untuk sama-sama menyumbang membina semula ekonomi negara.
"Jangan marah bila data menunjukkan ekonomi semakin mengukuh. Pesan kawan saya dari utara… (Menteri Besar Kedah) 'panas tak pe jangan koyak'..," katanya.
Comments