
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Isnin menyumbangkan RM20,000 kepada WWF Malaysia sebagai menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan spesis haiwan ikonik.
Menurut Fahmi, sumbangan itu sebagai komitmen peribadinya untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dan melindungi hidupan liar.
"Kita sering mendengar berita tentang spesis tertentu yang terkorban akibat pertembungan dengan manusia. Kita perlu mencari jalan untuk memperbaiki keseimbangan ini agar alam sekitar terus terpelihara.
"Melalui kerjasama WWF Malaysia, kita boleh mendedahkan rakyat kepada isu-isu alam sekitar dan habitat hidupan liar.
"Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan untuk program pendidikan dan kesedaran, terutama melibatkan anak-anak di kawasan Lembah Pantai dan sekitarnya," katanya dipetik.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai sebelumnya hadir merasmikan inisiatif Charms for Change anjuran Touch 'n Go dengan kerjasama WWF Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir, Pengerusi Touch ‘n Go, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad dan Pengerusi WWF Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Touch n Go yang menyumbang RM20,000 kepada Pusat Tuisyen Anak Malaysia bagi membantu pelajar terutama golongan B40 mendapat akses pendidikan lebih baik.
Sementara itu Fahmi berharap lebih banyak pihak termasuk syarikat korporat dan individu tampil menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar.
Sementara media turut diseru memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar bagi memastikan warisan biodiversiti negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Komentarze