Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memandang serius insiden gangguan seksual terhadap wartawan wanita ketika bertugas pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menegaskan, pihaknya mengutuk keras kejadian itu dan menegaskan kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku.
"Saya telah menerima maklumat lanjut berhubung kejadian itu daripada wartawan berkenaan. Pihak yang melakukan kesalahan perlu segera dibawa ke muka pengadilan.
"Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku sama sekali, apatah lagi ketika pengamal media sedang menjalankan tugas," katanya menerusi hantaran di media sosialnya.
Terdahulu, seorang wartawan wanita sebuah rangkaian televisyen tempatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan berhubung insiden tersebut yang didakwa berlaku di majlis perjumpaan pemimpin di Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Insiden gangguan seksual itu didakwa telah dilihat beberapa pengamal media lain, sebelum lelaki yang mendakwa dirinya petugas sebuah parti politik itu ditahan.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan insiden itu akan disiasat mengikut lunas undang-undang sedia dan profesional.
"Berita itu (gangguan seksual) pertama kali saya dengar... mungkin sebab saya sibuk kempen. Tapi jika laporan (polis) sudah dibuat, saya nak beri jaminan bahawa ia sepenuhnya di bawah autoriti pasukan polis.
"Gunalah peruntukan undang-undang yang ada...buatlah siasatan secara profesional ikut jalur undang-undang. Itu saya boleh sebut," katanya ketika diminta mengulas berhubung insiden berkenaan.
Comments