Pengarah Komunikasi parti KEADILAN, Fahmi Fadzil akan memfailkan permohonan supaya kes samannya terhadap tiga individu dibicarakan bersama.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi telah memaklumkan perkara itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain pada pengurusan kes saman itu pada Rabu.
"Pihak kami akan memfailkan permohonan itu minggu depan," kata dipetik.
Saman itu difailkan Fahmi pada September tahun lalu terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook 'N13 Kuang', Mohd Fauzan Madzlan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan sebuah tempat beribadah di Rawang iaitu sebuah masjid bagi tujuan kempen pilihanraya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Fahmi melalui pernyataan tersebut menegaskan, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor sudah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu beliau menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu
Sementara itu Asheeq Ali berkata, pihaknya akan mengemukakan tiga atau empat saksi termasuk Fahmi untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes saman itu.
Pesuruhjaya Kehakiman 7 Oktober depan telah ditetapkan bagi permohonan berkenaan.
Commentaires