Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh bagi membincangkan beberapa isu berkaitan perubahan iklim.
Melalui hantaran di laman X pada Rabu beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, antara isu dibincangkan adalah berkaitan penyelenggaraan pokok di bandaraya itu.
"Selepas melawat warga Lembah Pantai yang terjejas akibat ribut baru-baru ini, saya bertemu Datuk Kamarulzaman Mat Salleh di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kami bincang isu perubahan iklim dan peranan Jabatan Pembangunan Landskap Dan Rekreasi DBKL dalam memastikan penyenggaraan pokok di Kuala Lumpur dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.
Mengulas mengenai perbincangan itu Fahmi memaklumkan DBKL akan menyediakan empat kontraktor bagi setiap kawasan Parlimen untuk kerja-kerja penyelengaraan pokok di Kuala Lumpur.
Selain itu DBKL juga jelasnya berhasrat untuk menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menanam 100 pokok bagi setiap pokok yang ditebang, selaras dengan usaha untuk menghijaukan bandaraya dan Malaysia secara amnya.
Pada 25 Mei lepas, beberapa kawasan di Kuala Lumpur khususnya sekitar Lembah Pantai dan Bangsar dilanda hujan lebat serta angin kencang hingga mengakibatkan insiden pokok tumbang dan bumbung bangunan terbang.
Malah sekurang-kurangnya enam unit rumah Apartment Putra Ria di Bangsar dilapor terjejas selepas bumbung tercabut dalam kejadian angin kuat melanda Kuala Lumpur Sabtu lalu.
Susulan kejadian itu, Fahmi mengumumkan peruntukan RM120,000 bagi kerja membaik pulih baik pulih bumbung Pangsapuri berkenaan.
Commentaires