top of page

Fahami undang undang: Anggota Bersatu dipecat tidak hilang kerusi - AMK



Tindakan pemimpin Bersatu-PN terus mengelirukan rakyat Malaysia berhubung status enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri (PM) amat dikesalkan.


Bagi Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Bryan Ng Yih Miin, dakwaan kononnya Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah menyalah guna kuasa tidak mengosongkan kerusi 6 Ahli Parlimen berkenaan merupakan suatu tindakan yang tidak wajar, terutamanya dilakukan oleh ahli politik veteran seperti Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.


Menurut Bryan Ng, Muhyiddin sepatutnya faham undang undang kerana enam Ahli Parlimen bekas anggota Bersatu tersebut telah pun dipecat daripada parti dan berdasarkan Perkara 49A(2) Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti (Akta Anti Lompat Parti) maka kerusi terbabit tidaklah kosong.


Katanya, perkara itulah dahulu yang ditentang oleh blok Bersatu dan Pas untuk tidak dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan bagi merealisasikan Akta Anti Lompat Parti.


"Mengambil kira faktor Muhyiddin telah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan Speaker Parlimen Malaysia yang menolak untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada PM, Muhyiddin telah dengan mudahnya mengabaikan konteks penuh Perkara49A(2) Perlembagaan Persekutuan yang dipinda semasa pentadbiran kerajaan gabungan yang beliau sendiri pimpin iaitu Kerajaan PN.

Bryan Ng Yih Miin

"Kita ingatkan Muhyiddin tentang pindaan Perkara 48 dan Perkara 49A yang menggabungkan Undang-Undang Anti Lompat Parti di mana ia menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen yang meninggalkan partinya selepas dipilih dalam pilihanraya, mesti mengosongkan kerusinya setelah menyertai parti lain.


"Walau bagaimanapun Perkara 49A(2) jelas memberikan pengecualian iaitu seorang Ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika beliau dipecat daripada partinya," kata Bryan Ng dalam satu kenyataan.


Tegas Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK itu, enam Ahli Parlimen Bersatu itu hanya menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM. Mereka sama sekali tidak menyatakan telah meninggalkan parti melalui perletakan jawatan atau apa-apa kenyataan lain.


Katanya, Perkara 40 dan 43 Perlembagaan memperuntukkan lantikan PM di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan tiada mana-mana peruntukan undang-undang yang mengaitkan seorang PM dengan mana-mana parti. Maka, sokongan kepada PM tidak boleh disamakan dengan memberikan sokongan kepada mana-mana parti.


Manakala, kata Bryan Ng, pada 12 Jun 2024 parti Bersatu telah memutuskan untuk memecat enam Ahli Parlimen berkenaan dan sekali gus mengaktifkan Perkara 49A(2) yang menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen tidak perlu mengosongkan kerusinya sekiranya dipecat daripada partinya.


"Muhyiddin sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan merupakan bekas PM sepatutnya memahami undang-undang dengan baik.


"Beliau seharusnya menyampaikan keseluruhan Perkara 49A Perlembagaan dengan tepat dan tidak mengambilnya di luar konteks.


"Beliau juga gagal menjelaskan bagaimanakah beliau membuat kesimpulan enam Ahli Parlimen tersebut telah meninggalkan parti sedangkan tiada perletakan jawatan yang dikemukakan," katanya.


Selain itu, kata pemimpin AMK itu, isu kesahihan pemecatan enam Ahli Parlimen tersebut juga masih tidak selesai memandangkan Klausa 10.4 Perlembagaan Bersatu yang digunakan untuk mengesahkan pemecatan hanya berkuat kuasa pada 1 April 2024 selepas tindakan Ahli Parlimen itu menyokong PM.


"Jelas tiada peraturan boleh digunakan secara retrospektif terhadap kejadian yang berlaku sebelum tarikh kuat kuasa peraturan (pindaan perlembagaan Bersatu) tersebut," katanya.


Menurut Bryan Ng, secara ringkas, tanpa mengira sebarang kekaburan atau kelemahan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, rakyat Malaysia perlu faham dan ingat bahawa pindaan Perlembagaan yang mewujudkan Akta Anti Lompat Parti telah dirangka dan diluluskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Tambah beliau, rakyat Malaysia tidak perlulah dipaksa untuk melalui pilihanraya di keenam-enam kerusi tersebut dan mengulangi detik hitam zaman pentadbiran Muhyiddin dan PN, di mana rakyat terpaksa berhadapan dengan pilihanraya yang paling banyak dalam sejarah Malaysia.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page