top of page

Fahami Maksud Sebenar Kemerdekaan

Updated: Sep 16



Oleh: Bryan Ng Yih Miin


ULASAN: Beberapa tokoh politik veteran termasuk dua bekas Perdana Menteri Malaysia telah mengutarakan pandangan mereka mengenai definisi sebenar kemerdekaan negara. Namun begitu pandangan mereka sebahagian besarnya dianggap janggal dan tidak mencerminkan realiti atau hakikat mahupun kebenaran.


Sebagai contoh Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa negara ini tidak benar-benar merdeka kerana terikat dengan Akta Hasutan yang tidak sah hanya kerana rakyat dinasihati oleh Perdana Menteri untuk tidak membangkitkan isu kaum, raja dan agama (3R).


Kebenaran memerdekakan rakyat


Tun Mahathir seolah-olah terlupa bahawa pada pentadbirannya Akta Hasutan masih lagi wujud, dan digunakan sebaik mungkin semasa pentadbiran beliau. Segala tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa pada hari ini adalah berdasarkan undang-undang sedia ada, bukan atas arahan Perdana Menteri.


Kemerdekaan adalah penyatuan rakyat Malaysia demi negara bukannya politik

Salah satu ciri kemerdekaan sebenar adalah apabila bekas pemimpin menunjukkan kematangan dengan memberi pandangan yang sahih dan konstruktif untuk menyokong kerajaan semasa.


Jika tidak, sekurang-kurangnya mereka tidak sewenang-wenangnya mengelirukan rakyat. Bekas pemimpin seperti Tun Dr Mahathir perlu berlapang dada menerima hakikat bahawa rakyat telah membuat pilihan dan memberi mandat kepada kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Penyatuan Semenanjung-Borneo, MA63


Malaysia akan mencapai kemerdekaan sebenar apabila semua rakyat, sama ada di Semenanjung atau Borneo, menikmati manfaat ekonomi dan hak sebagai warganegara Malaysia secara adil. Satu langkah berani telah diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meneliti semula dan berusaha menunaikan Perjanjian Malaysia 1963, yang pentadbiran-pentadbiran sebelum ini, termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional terutamanya era Tun Dr Mahathir gagal untuk melaksanakannya.

Bryan Ng Yih Miin

Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Malaysia hanya akan benar-benar merdeka apabila partinya (Pas) memenangi kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.


Persoalannya, mengapa kerajaan PN yang lalu, di mana Pas juga sebahagian daripadanya, tidak mengambil langkah untuk mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963? Prestasi pentadbiran Pas di negeri Kelantan dan Terengganu, termasuk kegagalan menangani isu air dan ekonomi, mungkin itulah jenis "kemerdekaan" yang Pas ingin ulangi di Sabah.


Hentikan budaya “pembuli”


Rakyat Malaysia hanya akan mencapai kemerdekaan sebenar apabila setiap individu, terutamanya ahli politik, bersedia membela mereka yang berlainan latar belakang, agama, dan kaum daripada tindakan "pembuli" demi keadilan dan kebenaran.


Malangnya, kita sering melihat ahli politik yang suka mengejek lawan dengan gelaran seperti "walaun" dan "komunis", “walaunon”, atau menggunakan agama untuk menafikan hak orang lain.


Terdapat juga segelintir yang sanggup mengabaikan adab dengan menyerang wakil rakyat secara peribadi, seperti insiden "cap tidak halal di dahi". Walaupun kita semua tahu tindakan ini tidak wajar dan tidak sopan, namun, ramai yang memilih untuk membisu.


Kebal daripada hasutan ahli politik


Masyarakat Malaysia yang benar-benar merdeka harus mampu membezakan antara yang benar dan salah, tanpa mudah terpengaruh akan segala bentuk hasutan berasaskan agama atau bangsa. Rakyat perlu berfikir secara rasional dan tidak membiarkan emosi menguasai pemikiran. Ahli politik sering kali mengabaikan moral dan tatasusila demi kemenangan, tetapi

rakyat Malaysia diberkati dengan akal untuk membuat pilihan yang bijak.


Wahai rakyat Malaysia, sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ini, marilah kita menghargai keamanan, kemakmuran, dan pembangunan negara, hasil perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita.


Kenyataan ini juga sebagai peringatan kepada pemimpin dan wakil rakyat Malaysia, termasuk rakan seperjuangan saya, agar menghentikan taktik politik yang memecahbelahkan masyarakat majmuk kita. Sebaliknya, fokuskan usaha kepada pembangunan negara ke arah kegemilangan dan kemakmuran bersama sebagai satu bangsa Malaysia.

_____________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Strategi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan Malaysia

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page