KEADILAN pada era awal, reformasi digerakkan oleh kalangan anak muda sama ada menyertai demonstrasi jalanan mahu pun gerak kerja kepartian.
Melangkaui dua dekad KEADILAN, anak muda khususnya Melayu, kelihatan beralih kepada Perikatan Nasional sebagaimana ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 atau Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.
Bagi menangani hal berkenaan, Setiausaha Agung KEADILAN, Senator Dr Fuziah Salleh menyarankan agar Angkatan Muda Keadilan (AMK) menilai apakah kemahuan anak muda pada waktu ini untuk mencipta formula menarik kembali sokongan mereka kepada sayap pemuda parti itu.
"Anak muda ini ada idealisme dia. Anak muda juga kadang kadang radikal. Kita kena memahami apa kemahuan anak muda.
"Jadi mungkin secara jujur, mungkin dari luar, anak muda yang lain (bukan anggota) tidak melihat apa yang mereka inginkan itu ditawarkan oleh AMK kita. Mungkin itu perlu dinilai semula oleh barisan kepimpinan," katanya dalam temubual bersama Suara Keadilan.
Menurut Fuziah, anak muda yang sifatnya lantang mungkin mahukan beberapa isu di sekeliling mereka diperjuangkan dengan vokal dan hal itu mungkin ditunggu tunggu oleh anak muda di luar parti.
"Sebab kadang kadang anak muda ini - kita sebagai orang lama - dalam parti kita pun boleh tolerate sikit. Kalau anak muda ini lantang.
"Mungkin itu yang ingin dilihat oleh anak anak muda di luar sana," katanya kagi.
KEADILAN kurang memperolehi undi di saluran 4 dan 5 pusat mengundi yang mewakili anak muda, khususnya di kawasan Melayu dalam dua PRU dan PRN penting pada tahun sebelum ini.
Manakala pembangkang PN, khususnya Bersatu memainkan isu Melayu-Islam terancam untuk mendapatkan sokongan mereka.
Justeru, ada penganalisis politik berpendapat perlu ditemukan formula bagi menggamit imaginasi anak muda untuk kembali melihat KEADILAN menawarkan penyelesaian kepada masalah mereka sebagaimana pada dua dekad lalu dalam menarik sokongan golongan berkenaan.
Comments