
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek hari ini mengumumkan akan terus mempertahankan jawatan yang dimenanginya dalam Pemilihan KEADILAN 2022 lalu.
Beliau berkata, akan memberikan sepenuh tumpuan kepada program memperkukuhkan parti sekiranya diberi kepercayaan menerajui sekali lagi sayap parti itu.
"Saya ambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa saya akan terus mempertahankan jawatan Ketua Wanita Pusat.
"Ini adalah komitmen saya yang berterusan memandangkan ketika ini saya juga ingin memberikan sepenuh tumpuan dalam program parti yang akan mengukuhkan terus perjuangan parti ini," katanya dalam satu video pendek yang tular di media sosial petang ini.
Menurut Fadhlina, Wanita KEADILAN perlu meneruskan usaha gigih mereka dalam melakukan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan pada hujung tahun ini.
"Kita harus mula membina kekuatan itu sebagai persiapan untuk pilihanraya akan datang dan ia akan bermula dengan pilihanraya terdekat di Sabah, dan saya mahu lihat jentera Wanita memberikan tumpuan kepada pilihanraya yang akan datang
"InsyaAllah iltizam saya untuk terus bersama wanita, fokus wanita. Wanita nadi KEADILAN," katanya lagi.
Comments