
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Bahang pemilihan Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025-2028 mula terasa dan anggota pula pastinya teruja kerana berpeluang menggunakan `kuasa mengundi’ untuk memilih mana mana pemimpin yang mereka mahukan.
Bagi kepimpinan pusat sayap wanita, yang menjadi perhatian dalam pemilihan kali ini adalah jawatan Ketua Wanita KEADILAN (KWP) yang kini disandang oleh Fadhlina Sidek.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Johor, Zuraidah Zainab Mohd Zain, KWP yang ada sekarang telah menunjukkan kewibawaannya memimpin dengan menganjurkan pelbagai program sejak dipilih dan dilantik pada 2022 lalu.
Mengulas lanjut Zuraidah Zainab berkata, Fadhlina bukan sahaja ketua yang berintegriti tetapi juga pembimbing yang baik.
"Dalam organisasi seorang pemimpin berkualiti amat diperlukan untuk memastikan misi dan visi dapat dicapai. Fadhlina memiliki kepimpinan yang mampu melaksanakan amanah tersebut.

"Gaya kepimpinannya amat kami hormati. Beliau mampu membimbing dan mempengaruhi serta merangsang wanita untuk terus melakukan kerja-kerja kebajikan tanpa lelah.
"Bersama Fadhlina kami sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk terus bekerja memperkasakan parti serta berbakti kepada masyarakat tanpa mengira kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraidah yang juga mantan calon parlimen P155 Tenggara, Johor berkata, Fadhlina amat memahami denyut nadi wanita akar umbi dan juga merupakan pimpinan wanita di peringkat cabang.
"Beliau peka terhadap kebajikan wanita. Jika ada isu berbangkit berkaitan dengan pelbagai `hal’, beliau akan segera `turun padang’ untuk menyelesaikan secara bersemuka.
"Beliau tidak membiarkan isu berlarutan kerana tidak mahu sebarang program dan usaha memperkasakan wanita terbantut di kawasan tersebut.
"Fadhlina kerap menyantuni wanita negeri Johor dan memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Kehadiran Fadhlina memayungi kami amat dirasai," katanya yang juga Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor.
Selain itu ujar Zuraidah Zainab lagi, Fadhlina adalah KWP yang wajar dicontohi dan kaya dengan idea-idea baharu yang mampu menaikkan imej Wanita bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa.
"Saya menyokong padu Fadhlina untuk terus menjadi penerajui kami," kata Ketua Wanita KEADILAN Cabang Johor Bahru itu.
Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN Terengganu, Armila Alias berkata, Fadhlina telah memberikan sumbangan yang besar dalam memperjuangkan hak wanita, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

"Beliau membawa perubahan yang lebih inklusif dan adil dalam pelbagai aspek kehidupan," katanya.
Menurut Armila, sumbangan Fadhlina dalam politik, dasar pendidikan serta kebajikan masyarakat memberi impak positif kepada negara.
"Di Terengganu kami amat menyokong Fadhlina kekal sebagai KWP untuk sesi akan datang. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Menteri Pendidikan beliau tidak pernah melupakan wanita Terengganu.
"Beliau kerap turut padang untuk menyertai program kami dan memberi sumbangan.
"Semasa Terengganu dilanda banjir Fadhlina menggerakkan pasukan misi banjir Wanita KEADILAN membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini dengan memberi pelbagai barangan yang diperlukan sambil menyantuni mangsa-mangsa banjir. Budi baik Fadhlina kepada kami sentiasa menjadi ingatan," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung KEADILAN Dr Fuziah Salleh telah memberi Taklimat Pemilihan Parti dan Kongres Nasional Tahunan di Shah Alam, Selangor petang semalam.
Taklimat tersebut telah dihadiri oleh pimpinan daripada cabang dan juga pimpinan pusat dari seluruh negara.
Sebagai rujukan, pemilihan kepimpinan KEADILAN bagi sesi 2025-2028 bakal berlangsung pada 24 Mei ini melibatkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat.
Manakala pemilihan untuk jawatan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula ditetapkan pada 11 April 2025 hingga 20 April 2025.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan
Коментарі