Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Bagi yang mengenali minda Fadhlina Sidek serta perjuangan beliau berkaitan isu pendidikan pasti tidak terkejut dengan keterbukaan sosok tubuh ini 'membuka pintu' perbincangan berkaitan hak pendidikan dengan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan baru-baru ini.
Terus terang penulis sendiri amat berbangga apabila Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan Malaysia telah membuka ruang untuk delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban berdiskusi dengan beliau awal bulan ini.
Keterbukaan Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN Pusat membuktikan bahawa isu hak pendidikan anak-anak perempuan merentasi dunia dan rantai kolot kolonial yang menyekat pendidikan wanita mesti diputuskan segera oleh mana-mana negara di dunia ini.
Bagi penulis yang penting sikap bijaksana menguruskan isu tersebut supaya Malaysia menjadi ikon kepada pendidikan dunia.
Ia juga boleh menjadi ruang untuk membuktikan bahawa sistem pendidikan Malaysia amat wajar untuk dicontohi dalam membuka peluang pendidikan kepada wanita negara ini tanpa ada lagi rantai kunu yang memagari mereka.
Alangkah ruginya jika ada pemimpin-pemimpin yang mengecam atau bersikap skeptikal terhadap isu berkenaan.
Adakah pemimpin sebegini hanya melihat isu tersebut daripada pandangan 'mata lalat' bukan mahu meluaskan penglihatan mereka daripada pandangan 'mata burung'?
Utamakan akses pendidikan wanita
Melalui media sosialnya Fadhlina telah menjelaskan, keutamaannya dalam menerima lawatan rombongan Kementerian Pendidikan Afghanistan baru-baru ini adalah untuk mengutamakan akses pendidikan bagi anak-anak perempuan.
Katanya, isu akses pendidikan anak-anak perempuan sentiasa menjadi keutamaannya, malah sebelum menjadi menteri pun, perjuangan pendidikan dan pembelaan hak wanita adalah keutamaannya.
"Maka apabila mana-mana negara yang mahu datang dan belajar daripada Malaysia tentang sistem pendidikan kita, ia adalah peluang yang baik untuk kita khususnya Kementerian Pendidikan menonjolkan sisi terbaik pencapaian dan ekosistem pendidikan untuk anak-anak perempuan kita.
"Mustahil saya berkompromi dalam isu menafikan pendidikan kepada wanita.
"Logik akalnya, apakah saya selaku Menteri Pendidikan wanita mengharamkan pendidikan untuk wanita? Tidak masuk akal bukan?," kata beliau melalui media sosialnya.
Baru-baru ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam Fadhlina kerana menerima lawatan tersebut dengan alasan Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan kerajaan Taliban Afghanistan.
Menurut Guan Eng lagi, Afghanistan juga satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di sekolah menengah dan universiti, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam Afghanistan dan pimpinan Taliban kerana tindakan sedemikian sama seperti apartheid jantina.
Kata Fadhlina, Malaysia boleh mengambil satu prinsip untuk memulaukan Afghanistan kerana pendirian Taliban dalam isu hak pendidikan wanita dan kita yang berada jauh dari Afghanistan mungkin tidak terkesan dengan pendirian mereka.
"Tetapi andainya, saya mampu meyakinkan mereka bahawa memberikan pendidikan untuk kaum wanita tidak bercanggah dengan Islam, malah sejajar dengan nilai Islam, maka ia memberi makna yang besar untuk wanita di Afghanistan apabila melangkah masuk semula ke sekolah.
"Itu perjuangan yang akan terus saya lakukan di mana sahaja saya berada dan tidak mengira posisi.
Dunia belajar dari Malaysia
"Saya mahu dunia belajar daripada Malaysia bahawa kita mempunyai pengalaman yang cukup panjang dalam perjuangan pendidikan," katanya lagi.
Menurutnya, beliau faham kegusaran kelompok masyarakat tertentu dalam isu ini, tetapi meminta mereka yakin terhadapnya sebagai dengan Menteri Pendidikan wanita yang terus berjuang tanpa mengira kaum dan agama.
"Kita menggalas misi untuk menjadikan dunia ini lebih inklusif dan progresif, baik di tanah air, mahupun di mana-mana pelosok di dunia.
"Perjuangan ini bukan untuk bermegah dengan pencapaian kita, atau prinsip kita, tetapi untuk memastikan lebih ramai insan di dunia ini, berkongsi kemajuan dan kesejahteraan kerana prinsip dan nilai yang kita dukung dan pertahankan," katanya dengan tegas.
Menyedari hakikat itu, tambahnya, jika peluang untuk mengubah pendirian Taliban senipis kulit bawang sekali pun, beliau tetap tidak akan melepaskannya.
"Misi membuka mata mereka telah selesai. Kini saya hanya mengharap mereka akan melaksanakan misi selanjutnya iaitu membuka sekolah dan membenarkan kanak-kanak perempuan di Afghanistan ke sekolah sebagaimana kanak-kanak perempuan di Malaysia.
"Kita ini negara yang sentiasa dilihat sebagai negara contoh dan negara suri teladan, maka kita harus berani dalam langkah melawan diskriminasi dan terus memperjuangkan hak pendidikan untuk anak-anak perempuan di seluruh dunia," tambah Fadhlina.
________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments