
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Konsep `memberi pancing’ bukan terus `memberi ikan’ adalah antara pendekatan yang digunakan oleh Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek untuk mendidik wanita supaya mampu berdikari serta memperkasakan diri dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.
Ketua Wanita KEADILAN Negeri Sarawak, Victoria Anak Musa berkata, gaya kepimpinan tersebut secara langsung lebih berkesan untuk melahirkan wanita yang berkeyakinan tinggi, cemerlang serta mampu keluar daripada kemelut kehidupan.
"Fadhlina menggunakan pendekatan secara mendidik. Beliau tidak terus memberi bantuan secara melulu jika tidak ada keperluan mendesak.
"Beliau akan memberi pancing dengan pelbagai cara supaya wanita boleh berdikari dan mampu memperkasakan diri.
"Di bawah Fadhlina pelbagai program ilmu dilaksanakan untuk wanita lebih maju dan berdaya saing. Inilah antara sebab utama Fadhlina perlu dikekalkan memegang tampuk Ketua Wanita KEADILAN supaya lebih ramai wanita dapat diperkasakan secara lebih menyeluruh hingga ke akar umbi," kata Victoria dalam satu kenyataan.
Menurut Victoria lagi, Fadhlina telah merekodkan kepimpinan yang cemerlang. Sekaligus katanya, Ketua Wanita Pusat (KWP) itu wajar meneruskan kepimpinannya.
"Tindakan ini amat penting untuk memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan program yang telah dirancang, serta memberikan stabiliti kepada organisasi," katanya.
Peka isu semasa
Victoria berkata, Fadhlina amat peka dan memahami isu-isu yang dihadapi masyarakat serta wanita secara mendalam.

Selain itu kata katanya, Fadhlina memiliki visi yang jelas dan kebolehan untuk membina pasukan yang berkesan, walaupun terdapat perbezaan pendapat.
"Fadhlina melengkapkan wanita dengan ilmu dan memberikan ruang untuk menyokong program pemimpin wanita di pusat dan negeri serta mengembangkan potensi wanita tanpa meminggirkan mereka yang tidak sehaluan," kata beliau.
Dalam pada itu, sekalipun jadual padat sebagai menteri, Fadhlina tetap meluangkan masa untuk menyantuni wanita di Sarawak dan memberi komitmen kepada semua.
"Program Wanita KEADILAN seperti Sekolah Wanita (SWAN) yang dicetuskan beliau adalah platform pendidikan untuk melatih pemimpin masa depan dalam aspek demokrasi, politik, dan sosial
"Juga program 'Sayangi Diri' merupakan satu inisiatif bagi menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental wanita bagi menghadapi pelbagai cabaran di zaman ini," ujarnya.
Tangani isu keganasan
Selain itu, kata Victoria, Fadhlina juga memperkasakan Advokasi Isu Femecide dalam menangani isu keganasan terhadap wanita.
Jelasnya pelaksanaan pasukan Skuad Ihsan Madani Wanita KEADILAN ditubuhkan untuk membantu mangsa bencana dengan menghantar sumbangan dan membersihkan rumah mangsa.
Tidak cukup dengan itu, tegas Victoria apabila Fadhlina telah meningkatkan penglibatan komuniti dalam aktiviti KWP, membantu membina hubungan yang lebih baik antara organisasi dan masyarakat dengan penganjuran program kesedaran yang melibatkan pelbagai pihak.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga berusaha keras untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu sosial dan ekonomi yang dihadapi, memperjuangkan hak dan kepentingan wanita, serta memberikan suara kepada mereka yang terpinggir
Melalui sumbangan dan khidmat bakti tidak berbelah bahagi, kata Victoria, Fadhlina menunjukkan komitmen tinggi beliau terhadap perjuangan wanita dan masyarakat, menjadikannya pemimpin yang dihormati.
Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan
댓글