Exco Selangor, ADN potong gaji bantu mangsa kebakaran Putra Heights
- Suara Keadilan
- Apr 10
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Exco kerajaan Selangor dan pegawai atasan negeri, masing-masing memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 daripada gaji mereka pada bulan ini bagi disalurkan kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Ahli Dewan Negeri pula masing-masing akan menyumbangkan sebanyak RM200 dan RM100 daripada Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan serta RM50 daripada pegawai kerajaan Gred 48 ke atas.
"Sebagai langkah mengurangkan beban kepada penduduk yang terkesan sebagai tanda solidariti, di samping bonus tambahan sempena Aidilfitri, anggota pentadbiran awam negeri akan membuat sumbangan daripada gaji bulan ini.
"Secara keseluruhannya, anggota pentadbiran awam negeri akan menyumbang sebanyak RM102,050. Jumlah ini diharap dapat membantu meringankan semua mangsa yang sedang dalam proses kembali ke kehidupan masing-masing," katanya dalam kenyataan.
Amirudin memberitahu, bagi membantu mangsa insiden tersebut, Pejabat Tanah dan Galian Petaling juga akan membuka kaunter van bergerak bagi memudahkan mereka mendapatkan salinan baru geran tanah yang hilang akibat kebakaran tersebut.
"Bermula Isnin depan, van bergerak akan turun ke lapangan untuk membantu mencetak geran baharu kepada pemilik rumah yang sah secara percuma," ujarnya.
Selain itu, seramai 1,000 sukarelawan SERVE dengan kerjasama Team Selangor akan turun ke dua kawasan perumahan terbabit bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan perdana hingga hujung minggu ini.
Comments