Exco arah PBT siasat dakwaan projek pembinaan berdekatan paip gas
- Suara Keadilan
- 10 hours ago
- 2 min read

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan mengeluar arahan supaya Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memeriksa dakwaan kerja pembinaan projek perumahan baharu berdekatan saluran paip gas di Sendayan.
J Arul Kumar dipetik laporan media berkata, arahan itu susulan maklumat diterima pihaknya menerusi video berdurasi 28 saat yang tular di Facebook dan TikTok mengenai projek berkenaan.
"Kita sedia maklum mengenai perkara itu dan saya sudah beritahu Majlis Bandaraya Seremban dan pemaju untuk semak balik tapak projek berkenaan … di situ tertera papan tanda saluran paip Gas Malaysia, jadi ia paip sambungan ke kawasan perindustrian.
"Saya sudah maklumkan kepada MBS dan pemaju untuk semak semula, ada tak kerja (pembinaan) yang dibuat masuk dalam tanah rizab, kalau tidak masuk, tiada isu dan kerja itu masih di bawah tanah persendirian milik pemaju," katanya.
Pada Ahad, tular rakaman video berkenaan projek perumahan baharu di Sendayan berdekatan saluran paip gas yang membimbangkan penduduk setempat.
Arul Kumar sebelum ini memaklumkan, Kerajaan Negeri Sembilan akan berusaha sebaiknya dalam memastikan semua saluran paip gas berhampiran kawasan perumahan dan industri berada dalam keadaan baik.
Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau dan meninjau semua saluran paip gas berkenaan bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Sementara itu beliau dipetik laporan lain menyeru orang ramai membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan aktiviti berisiko berhampiran saluran paip gas di negeri ini.
Tindakan terus menularkan aktiviti tersebut di media sosial tanpa mengetahui status sebenar boleh menimbulkan kebimbangan orang ramai.
"Kalau sesuatu perkara tak betul ditularkan, ia akan beri gambaran kita (Kerajaan Negeri) tidak ambil tindakan dan beri satu keadaan bahaya serta ketakutan kepada masyarakat.
"Jadi, buat aduan kepada Gas Malaysia Berhad supaya isu itu disiasat dan diambil tindakan, bukannya terus tularkan," tambahnya.
Comments