Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat memanfaatkan kemerdekaan negara dan menjadikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini untuk meningkatkan perpaduan dan saling berpaut antara satu sama lain.
Perdana Menteri berkata setiap rakyat walaupun masing-masing terdapat perbezaan pandangan, mereka mesti diberi perlindungan, kasih sayang dan pembelaan yang secukupnya.
"Saya mahu mengajak semua rakyat Malaysia agar menerima kedatangan merdeka atas kekuatan setiap bangsa yang bersatu walaupun masing-masing berbeda pendapat. Di dalam negara yang tercinta ini, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberi pembelaan yang secukupnya.
"Apakah mudah? Tidak mudah saudara, jikalau ada wilayah, timbul politik serpihan untuk mencari kekuatan, dia main sentimen. Kaum aku tidak mendapat habuan... rakyat yang tidak berdosa mudah ditarik dengan sentimen membakar api perkauman," katanya pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya hari ini.
Beliau berucap di hadapan kira-kira 7,000 tetamu daripada pelbagai agensi antaranya penjawat awam, warga pendidik, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan pertubuhan bukan kerajaan.
Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu turut dihadiri Menteri Kabinet, penjawat awam, jentera perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga, ahli Sekretariat Rukun Negara, ahli Kelab Rukun Negara, pertubuhan bukan kerajaan, agensi swasta dan orang awam.
Hari Kebangsaan yang disambut esok dan Hari Malaysia pada 16 September ini bertema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
Perdana Menteri menyatakan kemerdekaan yang dikecapi hari ini dicapai kerana kekuatan rakyat yang bersatu padu.
Beliau yakin dengan jiwa merdeka dan semangat baharu rakyat, negara ini akan terus kekal harmoni.
"Tidak salah sekiranya setiap kaum membela nasib mereka...tidak salah untuk kita menetapkan Islam serta mengangkat kedudukan Islam dan kepercayaan agama-agama lain, tidak salah ada perasaan untuk menjaga rantau kita, kawasan kita, kampung kita, negeri kita.
"Tetapi percayalah ini semua dapat dilakukan dengan semangat kecintaan kepada negara yang satu...," katanya.
Anwar menarik perhatian bahawa Malaysia mempunyai potensi menjadi lebih hebat sekiranya rakyat mempunyai kesepakatan
"Percayalah, negara ini hebat kerana hebat rakyatnya, negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat, angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini.
"Apa kurangnya di negara kita, apa kurangnya kesedarannya, pencerahannya, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan, kemudahan kesihatan harus semua ini diperbaiki, untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin jangan pinggirkan sesiapa. Negara ini punya keupayaan," katanya lagi.
Comments