![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_54377a31497e437aa553d6f58f0aa4eb~mv2.jpg/v1/fill/w_651,h_467,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_54377a31497e437aa553d6f58f0aa4eb~mv2.jpg)
Presiden Recep Tayyip Erdoğan merupakan pemimpin negara Eropah yang paling tegas dan tanpa gentar membela rakyat Palestin meskipun sebahagian besar negara Eropah tidak memihak kepada penyelesaian dua negara, Palestin dan Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan demikian ketika berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena menyambut lawatan dua hari Erdogan ke Malaysia.
"Presiden Erdoğan telah menunjukkan kejelasan moral dan keberanian terhadap Palestin. Pada ketika prinsip terlalu kerap dikorbankan untuk bermudah mudah, dia telah bersuara tanpa gentar menentang perampasan, pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai.
"Sokongan Türkiye melampaui perkataan - ia nyata, diplomatik dan teguh. Walaupun orang lain teragak-agak, dia (Erdogan) tetap tegas. Apabila perhatian global semakin meningkat, beliau telah memastikan bahawa sokongan untuk Palestin diterjemahkan ke dalam tindakan yang bermakna," katanya.
Di samping itu, Anwar juga memuji Erdogan sebagai presiden yang berjaya membangunkan semula ekonomi dan perindustrian Tuikiye selepas berdekad dekad menghadapi kelembapan ekonomi.
Katanya, kebangkitan teknologi Turkiye telah membawa negara ke sempadan baharu. Kejayaan dron Bayraktar merupakan kejayaan industri. Projek kenderaan elektrik TOGG, kemajuan dalam teknologi angkasa lepas, dan evolusi keupayaan kecerdasan buatan menunjukkan Turkiye telah meninggalkan sejarah kelamnya dan benar-benar bergerak ke hadapan.
Erdogan, kata beliau, telah mendorong Türkiye sebagai kuasa global dan memperoleh reputasi sebagai pengantara yang dipercayai untuk keamanan di Timur Tengah serta berkesan dalam hal ehwal Eropah.
Dalam pada itu, Anwar juga menyentuh mengenai hubungan persahabatannya dengan Erdogan sejak puluhan tahun lalu.
Ujarnya, Erdogan bukanlah seorang sahabat yang mementingkan kedudukan sebaliknya rela membantu pada waktu yang sangat sukar dan banyak pihak tidak bersedia.
"Persahabatan yang dibina bukan atas kemudahan, tetapi atas perpaduan yang teguh.
"Pada masa kesukaran peribadi, dia menghulurkan tangan apabila ramai yang berpaling. Sokongannya bukan sembarangan atau direka untuk kepentingan politik.
"Tidak, ia adalah ungkapan persaudaraan yang tulen. Saya tidak pernah melupakannya, dan saya tidak akan pernah melupakannya," kata Anwar lagi.
Erdogan kemudian dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya oleh Canselor Universiti Malaya, Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Penganugerahan itu melambangkang penghormatan Malaysia terhadap peranan dan kepemimpinan hebat Presiden Erdoğan di pentas antarabangsa, terutamanya membabitkan dunia Islam.
Comments