Usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar telah menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan, terutamanya melibatkan empat buah negeri termasuk Putrajaya yang telah mencatatkan sifar miskin tegar.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional e-Kasih sehingga 31 Disember lalu bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar adalah sebanyak 1,793.
Melalui data e-Kasih yang dikongsi, Kuala Lumpur menunjukkan angka miskin tegar tertinggi iaitu 507 isi rumah diikuti Kedah (314), Johor (298), Selangor (168), Terengganu (124) dan Kelantan (81).
Sabah pula merekodkan seramai 80 isi rumah, Pulau Pinang (67), Perak (57), Pahang (46), Labuan (43) dan Sarawak (lapan).
"Usaha akan terus dipergiat untuk menoktahkan miskin tegar di negeri-negeri lain," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman web Parlimen hari ini.
Rafizi memberitahu kerajaan sedang melaksanakan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat bagi mempergiat usaha membasmi kemiskinan.
Jelasnya langkah itu termasuklah meningkatkan pendapatan golongan sasar dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup golongan miskin.
"...dan peningkatan akses kepada sokongan sosial seperti pendidikan dan kesihatan serta perumahan bagi meningkatkan tahap kualiti hidup serta meningkatkan daya tahan dan kesejahteraan isi rumah miskin," ujarnya.
コメント