Empat buah masjid menerima dana Wakaf bernilai RM190,000 bagi melaksana pelbagai inisiatif berasaskan teknologi hijau.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Majlis Penyerahan Wakaf Masjid Hijau di Dewan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi berkata, dana tersebut hasil dari Inisiatif Wakaf Masjid Hijau yang setakat kini berjaya mengumpul dana awam sebanyak RM204,165.
"Buat masa ini, kita babitkan beberapa masjid seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan. InshaAllah secara terus-menerus, kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia akan dikembangkan lagi.
"Jika kita lihat, kebanyakan inisiatif (amalan hijau) dilaksanakan di peringkat komuniti. Bagi saya, ia satu perkara yang menggalakkan," katanya.
Nik Nazmi berkata, antara inisiatif hijau yang dimulakan masjid terpilih termasuk kecekapan tenaga dan air, sumber alternatif seperti tenaga boleh baharu, telaga tiub serta pengurusan sisa terpakai melalui program 3R (Recycle, Reduce and Reuse).
Difahamkan Masjid Nurul Iman, Pulau Pinang dan Masjid Dato' Klana Petra Sendeng, Negeri Sembilan akan melaksana pemasangan sistem solar PV.
Manakala Masjid Zaid bin Haritsah, Kuala Lumpur memperoleh dana berkenaan bagi pembangunan kebun bandar lestari.
Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid, Johor pula akan membina sistem pengumpulan dan rawatan air hujan serta pemasangan pili cekap air.
"Kita juga berharap selain kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia, pihak korporat dapat membantu untuk kembangkan dan bantu usaha ini," katanya.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga dan Alam Sekitar), Datuk Mohamad Razif Abd Mubin, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) merangkap Naib Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Datuk Selamat Paigo dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.
Comments