Pasukan polis mengambil tindakan memperketatkan kawalan keselamatan dengan menutup pintu pagar balai selepas pukul 10 malam susulan serangan berdarah di Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu diambil bagi mengimbangi keperluan orang ramai untuk membuat aduan dan keselamatan anggota di balai yang menjadi sasaran serangan.
"Kita perlu imbangi (langkah-langkah keselamatan) kerana balai polis adalah tempat rakyat mengadu tetapi pada masa sama, balai polis juga menjadi sasaran, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu.
"Insiden di Ulu Tiram, saat itu ada dua orang yang berurusan dengan anggota polis (di dalam balai) dan ketika itu serangan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang bertanyakan langkah-langkah memperketatkan keselamatan di balai polis ekoran insiden 17 Mei lepas itu yang menyaksikan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia akibat diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Kepada soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai langkah-langkah diambil untuk menghadapi ancaman pengganas, Saifuddin Nasution berkata, pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.
Katanya, polis akan akan sentiasa mengambil langkah dan tindakan sewajarnya bagi memastikan ancaman atau fahaman berbaur pengganas tidak terus tersebar di negara ini.
Saifuddin Nasution berkata fahaman ekstremisme perlu dibendung dan perbuatan ‘mengkafirkan’ golongan lain sangat membahayakan bagi masyarakat dalam negara.
"Insiden ini (serangan Balai Polis Ulu Tiram) sudah tentu jika ditanya sama ada polis mempunyai keupayaan untuk mengurus...tentunya. Polis 216 tahun umurnya, mempunyai pengalaman yang luas.
"Jadi berdasarkan kepada insiden seperti ini, maka polis kita bangunkan profil lengkap bagaimana kita nak mengurangkan elemen-elemen seperti ini supaya ia tidak berkembang subur," katanya.
Comentários